Selangor perlu RM1 bilion hasilkan padi lima kali dua tahun - Izham

SABAK BERNAM – Selangor memerlukan RM1 bilion bagi meningkatkan hasil padi seterusnya merealisasikan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di negeri ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, peruntukan itu diperlukan bagi meningkatkan infrastruktur seperti sistem saliran, kolam takungan tambahan untuk bekalan air serta penambahbaikan dari segi tanah jerlus.
“Kita perlukan 80.9 hektar tanah bagi kolam takungan tambahan dari Sawah Sempadan di Tanjong Karang ke Sabak Bernam.
“Sebab itu, kita mahu tingkatkan lagi supaya mana-mana tempat di Barat Laut Selangor ini dapat capai air yang mencukupi, selaras dengan cadangan penanaman padi lima kali dua tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran Pesawah Sungai Leman di Dewan Seri Sekinchan di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, beliau turut melancarkan teknologi baja Briar & Behn Meyer’s Advance & Sustainable Series for Excellence (BASE).
Izham memberitahu, usaha mendapatkan peruntukan itu akan dimohon oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor kepada Kerajaan Persekutuan.
Izham menegaskan, kesemua penaiktarafan itu boleh disiapkan dalam tempoh tiga tahun sekiranya peruntukan tersebut diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kalau siap ini, kita dapat tingkatkan produktiviti kerana Selangor tiada lagi tanah baharu untuk pesawah,” tambah beliau.
Dalam perkembangan lain, Izham berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan pemberian RM100 setiap tan kepada pesawah yang berjaya mengeluarkan sebanyak tujuh tan hasil.
“Ini adalah insentif agar pesawah kita berjaya mengeluarkan hasil yang banyak.
“Terdapat lebih 9,000 pesawah, namun hanya di Sungai Leman dan Sekinchan mampu mengeluarkan output sedemikian ketika ini,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

