Himpunan bantah RUU URA pada 14 Jun - Pemuda Pas

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Himpunan aman bagi membantah cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) akan diadakan sekitar kawasan Lembah Klang pada 14 Jun depan.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pembangunan yang sebenar tidak sepatutnya dijadikan alat peminggiran atau penindasan terhadap rakyat, terutama golongan lebih lemah dan terdedah kepada risiko kehilangan tempat tinggal serta komuniti asal mereka.
"Pemuda Pas Malaysia tidak menolak prinsip pembangunan semula bandar yang berdaya maju dan inklusif.
"Namun, kami menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) mestilah dijalankan secara adil, telus, dan tidak sesekali mengorbankan hak penduduk asal demi keuntungan pihak berkepentingan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut pada Sabtu.
Afnan Hamimi berkata, semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa diharap dapat turut serta dalam himpunan berkenaan bagi menyatakan pendirian menolak RUU tersebut.
Menurutnya, dalam masa sama, Pemuda Pas juga akan menggerakkan wakil bagi menyerahkan memorandum bantahan berhubung RUU tersebut kepada seluruh ahli Parlimen di kawasan masing-masing.
"Kami berharap kesemua ahli Parlimen dapat menerima memorandum tersebut dengan penuh nilai tanggungjawab," ujarnya.
Jelas Afnan Hamimi, akta berkenaan juga telah menurunkan ambang persetujuan penghuni daripada 100 peratus kepada 80 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun.
Tambah beliau, bagi bangunan lebih 30 tahun tetapi rosak, ambang tersebut turun kepada 75 peratus manakala bangunan rosak, struktur tidak selamat atau terbengkalai pula berkurang pada 51 peratus.
"Penurunan itu boleh membuka ruang kepada eksploitasi oleh pemaju, di mana suara minoriti dan penduduk yang tidak bersetuju dengan pembangunan en bloc boleh diketepikan sedangkan sebelum ini memerlukan 100 peratus persetujuan untuk pembangunan semula.
"Lebih membimbangkan, pelaksanaan RUU ini berpotensi bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak rakyat terhadap pemilikan harta.
"Jika tidak ditangani secara telus dan saksama, kesan jangka panjangnya boleh menyumbang kepada polarisasi kaum, di mana kawasan-kawasan elit hanya didiami oleh satu kelompok etnik, manakala kaum lain tersisih akibat tekanan ekonomi dan gentrifikasi bandar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
