Kereta pengurus pemaju hartanah disimbah cat, CCTV rakam suspek misteri

SUBANG JAYA – Sebuah kereta milik pengurus pemaju hartanah disimbah cat di sebuah kawasan perumahan di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.45 pagi ketika ibu mertua mangsa terlihat seorang lelaki tidak dikenali membaling cat ke arah halaman rumah.
"Mangsa yang berusia 53 tahun kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati motokar miliknya yang diparkir di halaman rumah terkena simbahan cat berwarna kelabu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati hampir keseluruhan badan kenderaan tersebut disimbah cat.
"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali berjalan kaki sambil membawa beg di kawasan perumahan tersebut sebelum kejadian berlaku.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya.
Wan Azlan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

