Nenek, cucu maut nahas tiga kenderaan

Keadaan kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan KM 44.2 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Jumaat. Foto IPD Kota Tinggi
Keadaan kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan KM 44.2 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Jumaat. Foto IPD Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita warga emas dan cucunya maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 44.2 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut sekitar jam 7.50 malam.

Menurutnya, kemalangan itu melibatkan kereta jenis Proton Saga, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Corolla Cross, yang turut menyebabkan sembilan mangsa lain cedera.

“Siasatan mendapati Proton Saga dipandu seorang wanita tempatan berusia 47 tahun bersama empat penumpang berusia antara 10 hingga 87 tahun.

“Perodua Alza pula dipandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun bersama lima penumpang berusia antara tiga hingga 54 tahun, manakala Toyota Corolla Cross dipandu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun,” katanya.

Yusof berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Saga yang dalam perjalanan dari arah Rompin ke Kota Tinggi hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza dan Toyota Corolla Cross.

“Akibatnya, penumpang belakang Proton Saga iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Neneknya yang berusia 87 tahun pula meninggal dunia pada jam 7.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.

Beliau berkata, semua pemandu dan penumpang Perodua Alza mengalami kecederaan dan dirujuk ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, pemandu Toyota Corolla Cross tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!