Penunggang motosikal maut nahas tiga kenderaan

Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan lori dan SUV di KM19 Jalan Benut-Simpang Renggam pada Ahad. Foto FB KHI
Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan lori dan SUV di KM19 Jalan Benut-Simpang Renggam pada Ahad. Foto FB KHI
A
A
A

KLUANG - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 19, Jalan Benut-Simpang Renggam, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada jam 11 pagi.

"Siasatan mendapati motosikal jenis Kawasaki ER250c yang ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah Benut menghala ke Simpang Renggam.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan telah membelok ke simpang kanan.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal dipercayai telah hilang kawalan hingga melanggar lori berkenaan sebelum kedua-duanya melanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang sedang berhenti di persimpangan jalan berkenaan," katanya.

Akibatnya, Bahrin berkata, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori pula mengalami kecederaan di bahagian kepala serta muka, dan menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), sementara pemandu CR-V dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan ini diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui talian telefon 07-7784222, 07-7784256 (talian terus), 07-7766822 (talian hotline) dan 014-365682 (Tablet DCC)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!