Boleh cetus ketegangan dalam rundingan

Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Pengerusi BN mengenai PRN Sabah: Belum masanya umum calon 'poster boy'. Gambar kanan: HUSSAIN YUSRI
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Pengerusi BN mengenai PRN Sabah: Belum masanya umum calon 'poster boy'. Gambar kanan: HUSSAIN YUSRI
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman awal calon poster boy oleh UMNO Sabah berpotensi menimbulkan ketegangan dalam rundingan kerjasama politik antara parti-parti gabungan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ini kerana poster boy atau calon Ketua Menteri seharusnya diputuskan secara bersama dengan mengambil kira pandangan semua pihak terlibat.

Menurutnya, dalam konteks politik gabungan terutamanya antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), strategi terbaik biasanya menuntut rundingan tertutup dan kesepakatan kolektif sebelum sebarang pengumuman dibuat.

“Tindakan unilateral ini boleh ditafsirkan sebagai percubaan untuk mendahului keputusan bersama, sekali gus mencabar prinsip kesepakatan dalam pakatan politik.

“Tindakan sebegini sering dikaitkan dengan usaha memonopoli naratif kepimpinan, yang mungkin menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pakatan parti. Ia boleh mengganggu keharmonian dalaman gabungan, mengurangkan kepercayaan dan melemahkan usaha penyelarasan kerusi atau calon menjelang pilihan raya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan UMNO Sabah yang mengumumkan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai poster boy parti itu yang mendapat reaksi pelbagai pihak.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, ketetapan tersebut dibuat dengan mengambil kira tradisi bersandarkan kedudukan Ahli Parlimen Kinabatangan itu sebagai pemimpin nombor satu parti di peringkat negeri.

Susulan pengumuman itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan belum masanya untuk menentukan calon poster boy bagi mana-mana negeri sebelum pilihan raya umum (PRU) atau PRN diumumkan.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, hasil perjumpaan dengan kepimpinan UMNO Sabah pada Rabu, beliau telah memberikan garis panduan untuk parti di negeri berkenaan menghadapi PRN.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya sama ada strategi umum poster boy lebih awal merupakan isyarat oleh mana-mana gabungan untuk menunjukkan lebih dominan, Hussain Yusri tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Dari sudut analisis politik strategik, pengumuman awal seorang poster boy boleh dianggap sebagai satu isyarat politik yang jelas bagi menunjukkan dominasi atau pengaruh dalam gabungan parti.

“Ini adalah sebahagian daripada strategi dalam politik, di mana sesebuah parti berusaha untuk menonjolkan kekuatan dan keupayaannya memimpin, sebelum sebarang keputusan rasmi dicapai,” jelasnya.

Beliau menambah, imej pemimpin adalah penting untuk mempengaruhi pengundi dan atas dasar itu UMNO Sabah mungkin ingin memastikan bahawa figura utama mereka dikenali awal sebagai bakal pemimpin negeri, sekali gus memberi tekanan kepada rakan gabungan untuk menerima tokoh tersebut sebagai calon utama atau Ketua Menteri sekiranya menang nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!