Rujuk sumber rasmi berkaitan info haji – TH

MAKKAH – Jemaah haji dan rakyat Malaysia diingatkan supaya hanya merujuk kepada media arus perdana dan platform rasmi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mendapatkan maklumat sahih berkaitan perjalanan haji musim 1446H/2025M.
Pengarah Operasi Media TH, Mohamad Naser Jaafar berkata, terlalu banyak maklumat dikongsikan di platform media sosial termasuk info semasa ibadah haji yang boleh mengelirukan jemaah dan rakyat Malaysia.
“Oleh itu, saya mohon jemaah haji dan rakyat Malaysia supaya hanya mendapatkan maklumat berkaitan daripada media arus perdana dan platform rasmi TH.
“Kami akan sampaikan informasi terkini, tepat dan sahih demi kepentingan semua bakal haji,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat TH di Makkah.
Menurut Mohamad Naser, operasi media TH di Madinah telah berakhir dan kini masuk ke fasa baharu di Makkah dengan strategi lebih tersusun.
Katanya, pembukaan rasmi pejabat media TH di Makkah menandakan bermulanya operasi penuh pasukan berkenaan sepanjang musim haji.
Beliau berkata, kini tumpuan pasukan media TH adalah membuat liputan menyeluruh melibatkan pergerakan jemaah, aktiviti di bawah kelolaan Bahagian Bimbingan Haji serta pelbagai program berkaitan ibadah.
“Liputan juga merangkumi aspek kesihatan, keselamatan dan perkembangan jemaah. Semua maklumat ini akan disalurkan melalui media arus perdana dan platform rasmi TH.
“Diharap semua maklumat yang dikongsikan pihak media akan memberi manfaat bukan sahaja kepada jemaah tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan haji dari tanah air,” katanya.
Ujar beliau lagi, peranan media amat penting dalam membantu kelancaran ibadah haji melalui penyampaian maklumat tepat bagi mengelakkan kekeliruan dan menangkis sebarang spekulasi yang tular.
Terdahulu beliau memaklumkan semua petugas media TH telah menunaikan umrah selepas melalui perjalanan lapan jam menaiki bas dari Madinah dan bermiqat di Bir Ali.
“Walaupun ada yang baru pertama kali menunaikan umrah, namun mereka dapat melaksanakannya dengan tertib dan baik.
“Ini kerana sebelum ini TH telah anjurkan kursus haji khas untuk pengamal media sebelum ke Tanah Suci bagi memastikan mereka dapat menunaikan ibadah sebaik mungkin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


