Pekerja kontraktor TNB jatuh perigi lama

SUNGAI SIPUT - Seorang pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) terselamat selepas jatuh ke dalam perigi lama di Ladang Kemuning di sini pada Jumaat.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput pada jam 11.55 pagi melibatkan mangsa berusia 29 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera di gerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

"Maklumat mengatakan mangsa terjatuh ke dalam lubang berkedalaman sembilan meter yang terletak di atas bukit.
"Anggota penyelamat perlu mendaki laluan bukit tersebut yang berketinggian kira-kira lima meter dengan berjalan kaki," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa berjaya dibawa keluar oleh rakan kerjanya sebelum pasukan penyelamat sampai di lokasi kejadian.

Katanya, ketua operasi kemudiannya melakukan size up dan mendapati mangsa dalam keadaan sedar tanpa mengalami kecederaan.
"Mangsa hanya mengadu mengalami kesakitan di bahagian pinggang.
"Tindakan operasi dilakukan dengan membawa mangsa turun dari kawasan bukit menggunakan teknik lowering menggunakan tali penyelamat," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat pada jam 1.05 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

