Insan tersayang terpisah di sempadan India-Pakistan

Seorang wanita warga Pakistan memberi ciuman selamat tinggal kepada anak lelakinya yang memegang kerakyatan India.
Seorang wanita warga Pakistan memberi ciuman selamat tinggal kepada anak lelakinya yang memegang kerakyatan India.
A
A
A

NEW DELHI - Shahida Adrees berada di persimpangan dilema sama ada mahu kekal bersama insan tersayang atau kembali kepada adik-beradiknya.

Wanita berusia 61 tahun itu berhijrah ke India dari Pakistan pada 2002 selepas berkahwin dengan Adrees Khan yang menetap di negeri Punjab.

Setiap beberapa tahun, Shahida yang tinggal di New Delhi dengan visa jangka panjang akan memohon permit perjalanan ke Islamabad untuk bertemu keluarganya.

Krisis itu memberi kesan besar kepada pasangan 'rentas sempadan' kerana memiliki kerakyatan berbeza.
Krisis itu memberi kesan besar kepada pasangan 'rentas sempadan' kerana memiliki kerakyatan berbeza.

Tetapi, rutin itu mungkin terpaksa dihentikan selepas India menggantung hampir kesemua visa untuk rakyat Pakistan sebagai sebahagian daripada respons tegas terhadap serangan ganas di hab pelancongan di wilayah Kashmir yang meragut 26 nyawa pada 22 April lalu.

Shahida terpaksa membuat keputusan yang sukar untuk kekal berada di sisi suaminya dan membatalkan rancangan untuk menziarahi keluarganya.

“Jika saya tetap pergi, pastinya saya tidak akan dibenarkan kembali semula ke India. Saya tidak tahu sama ada dapat bertemu adik-beradik lain pada masa depan,” katanya dalam nada hiba.

Artikel Berkaitan:

Keluarga Shahida antara ratusan yang terpisah di antara sempadan New Delhi dan Islamabad serta berdepan risiko perpisahan secara kekal.

Kahwin 'rentas sempadan'

Meskipun India dan Pakistan saling bermusuh, kisah cinta dan perkahwinan antara rakyat kedua-dua negara itu bukanlah perkara asing.

Hal ini kerana sebahagian besar komuniti masih berkongsi budaya walaupun dibahagikan oleh Garis Radcliffe pada 1947 hingga memaksa jutaan berhijrah.

Perkahwinan 'rentas sempadan' memerlukan permohonan visa jangka panjang yang perlu diperbaharui secara berkala dan ada juga yang cuba memohon hak kerakyatan yang prosesnya boleh mengambil masa selama beberapa tahun.

Pada minggu ini, kesemua sekatan ke atas visa mula berkuat kuasa dan ramai sudah terkesan.

“Saya ke sini dengan ibu saya. Sekarang mereka suruh saya tinggalkan negara ini tanpa ibu saya. Bagaimana saya boleh buat begitu?” ujar warga Pakistan, Mohammed Ayat, 17, sambil teresak-esak.

Ayat berkunjung ke New Delhi pada bulan lalu bersama ibunya yang merupakan rakyat India dan menetap di Islamabad.

“Mereka boleh hukum penyerang. Kenapa kami yang jadi mangsa. Apa salah kami?” tambahnya lagi.

Visa NORI tidak terkecuali

Jumlah sebenar individu yang meninggalkan kedua-dua negara selepas konflik baharu itu tercetus masih tidak jelas.

Rangkaian media menganggarkan angka tersebut mungkin mencecah ratusan orang.

Di bawah undang-undang India, kesemua pemegang visa jangka panjang dibenarkan untuk kembali ke negara asal selepas memperoleh permit kedua digelar visa Tiada Bantahan untuk Kembali ke India (NORI).

Warga Pakistan kembali ke tanah air melalui pos sempadan Wagah, terletak kira-kira 35 kilometer dari Amritsar.
Warga Pakistan kembali ke tanah air melalui pos sempadan Wagah, terletak kira-kira 35 kilometer dari Amritsar.

Tetapi, pemegang visa NORI juga dikenakan sekatan sama dan dilarang melintasi sempadan, beberapa hari insiden serangan ganas tersebut.

Menurut Shahida, pihak berkuasa New Delhi memberi jaminan pemegang visa NORI akan dikecualikan daripada sekatan itu. Tetapi, dia enggan mengambil sebarang risiko.

“Keadaan mungkin akan lebih baik jika saya mendapat hak kewarganegaraan India. Saya pernah memohon pada 2009, namun tiada maklum balas hingga kini,” jelasnya lagi.

Bagi Tahira Ahmed, hidupnya masih tidak tenang walaupun sudah menjadi warga India.

Tahira memperoleh kerakyatan pada 2016 iaitu selepas 13 tahun usia perkahwinannya.

“Saya masih bimbang jika dihantar pulang ke Pakistan,” menurutnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!