Pembantu kedai maut ditikam angkara cemburu

TAIPING – Seorang pembantu kedai maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan Simpang, di sini, petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 2.55 petang yang memaklumkan penemuan seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di lokasi berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 20 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat tikaman.
“Mangsa dikenal pasti bekerja sebagai pembantu kedai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohamad Nasir berkata, susulan itu sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping telah digerakkan bagi mengesan suspek.
Hasilnya, dalam tempoh 24 jam, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 40 tahun bagi membantu siasatan.
Menurut Mohamad Nasir, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing ke atasnya turut menunjukkan positif dadah jenis morfin.
“Siasatan awal mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu,” katanya.
Beliau berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

