Hadiah sempena ulang tahun perkahwinan!

Muhammad Syahmi Asyraff (tengah) bersama bapa, Samsul Muariff dan ibunya Hayani ketika mengambil keputusan SPM yang diumumkan di SM Sultan Mahmud di sini hari ini.
Muhammad Syahmi Asyraff (tengah) bersama bapa, Samsul Muariff dan ibunya Hayani ketika mengambil keputusan SPM yang diumumkan di SM Sultan Mahmud di sini hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Kekurangan yang ada pada diri bukan halangan bagi seorang pelajar yang menghidap autisme untuk mendapat 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Muhammad Syahmi Asyraff Samsul Muariff, 18, mendapat 7A bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Fizik dan Kimia dan B bagi Matematik Tambahan dan C untuk subjek Biologi.

Muhammad Syahmi Asyraff berkata, dia membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan itu sejak di tingkatan empat.

"Sejak tingkatan empat saya telah memberi fokus penuh untuk persediaan menduduki SPM kerana mata pelajaran yang dipelajari ketika itu mempunyai hubung kait dengan subjek yang akan diambil dalam peperiksaan.

"Misalnya subjek Matematik Tambahan yang agak mencabar bagi saya, saya cuba sehabis baik untuk memberi fokus pada subjek itu," katanya.

Ditanya mengenai kekurangan yang ada padanya, Muhammad Syahmi Asyraff mengakui tidak boleh lari daripada persepsi negatif.

"Saya pernah juga berdepan dengan tanggapan negatif, tetapi saya jadikan itu pembakar semangat untuk berjaya.

"Jangan anggap kekurangan itu sebagai kelemahan, anggap ia sebagai titik-tolak untuk membaiki kelemahan lain yang ada pada diri," katanya yang bercita-cita menjadi ahli farmasi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhammad Syahmi Asyraff berkata, solat sunat duha yang diamalkan setiap hari membuka pintu rezeki untuk dia beroleh kejayaan.

"Saya bersyukur kerana SMK Panji Alam mengadakan solat sunat duha setiap hari pada waktu rehat dan peluang itu saya manfaatkan sepenuhnya," katanya yang tinggal di Kampung Nibong, Kuala Terengganu.

Muhammad Syahmi Asyraff yang merupakan anak kedua daripada dua beradik ditemani ibu, Hayani Zakaria, 54, dan bapa, Samsul Muariff Saroni, 56, ketika pengumuman keputusan SPM 2019 di SM Sultan Mahmud di sini hari ini.

Sementara itu, Hayani berkata, dia bersyukur kerana usaha serta pengorbanan yang dicurahkan selama ini membuahkan hasil.

"Bukan senang untuk membesarkan anak autisme banyak cabaran yang dilalui bermula di bangku sekolah rendah hinggalah ke tahap ini.

"Saya amat bersyukur kerana sebenarnya apa yang saya impikan dan harapkan ialah supaya dia dapat bekerja dan sama seperti insan lain yang normal.

"Alhamdulillah, ini adalah hadiah paling bermakna buat saya sempena ulang tahun perkahwinan kali ke-25 yang disambut hari ini," katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.