Ops cabut pintu PPR MBS tidak babit keluarga miskin

SEREMBAN - Operasi mencabut pintu rumah oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) terhadap 10 penyewa yang mempunyai tunggakan sewa tinggi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paroi dan Lobak tidak membabitkan keluarga miskin dalam senarai eKasih.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, mereka yang dikenakan tindakan itu mempunyai tunggakan antara RM15,000 hingga RM34,000.
Menurutnya, MBS telah mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum tindakan diambil, selepas pelbagai usaha dilakukan untuk membolehkan penyewa menyelesaikan tunggakan sewa.
“MBS telah mengambil inisiatif hadir ke premis sewaan untuk bersemuka dan menawarkan bayaran secara ansuran, dengan amaun ansuran itu dicadangkan sendiri oleh penyewa. Namun, sebahagian besar daripada mereka masih gagal membuat bayaran bulanan.
“MBS kemudian mengeluarkan notis peringatan kepada penyewa yang gagal mematuhi terma bayaran tunggakan berkenaan, disusuli notis penamatan sewaan serta peringatan melalui telefon. Namun, penyewa terbabit masih ingkar menyebabkan notis pengosongan dikeluarkan,” katanya menjawab soalan dibangkitkan ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad, di Sidang Dewan Undangan Negeri pada Rabu.
Ridzuan mempersoalkan kewajaran tindakan membuka pintu rumah penyewa yang tidak membayar sewa dan yuran penyelenggaraan PPR, selain kelewatan MBS dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang mempunyai tunggakan tinggi.
Arul Kumar menjelaskan, tidak timbul isu kelewatan kerana surat peringatan, perbincangan bersemuka, panggilan telefon dan bil telah dihantar ke unit-unit terbabit sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.
Menurutnya, operasi itu dijalankan di empat unit di PPR Paroi pada 12 Disember tahun lalu dan enam unit di PPR Lobak pada 27 Februari lalu, dengan jumlah tunggakan keseluruhan mencecah RM215,000.
“Daripada 10 penyewa yang diambil tindakan, hanya tiga daripadanya dapat meneruskan sewaan selepas membuat bayaran serta bersetuju mematuhi beberapa syarat ditetapkan MBS.
“Lima unit lain didapati diduduki oleh mereka yang tidak berdaftar dengan MBS, manakala satu unit dikunci kerana penyewa tidak lagi dapat dihubungi.
“Satu lagi unit pula dihuni oleh penyewa yang berkemampuan membayar sewa RM150 sebulan dan rumah tersebut lengkap dengan penghawa dingin,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa sebanyak RM52,406 telah dibayar kepada MBS hasil tindakan kutipan itu, membuktikan operasi tersebut memberi kesan positif dan wajar diteruskan secara berkala.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, konsep asal penyewaan PPR adalah bersifat sementara sehingga kewangan penyewa menjadi lebih stabil, dan bukan untuk diwarisi dari satu generasi ke generasi lain.
“Sepatutnya penyewa sedia ada, kebanyakan mereka telah mendiami premis berkenaan melebihi 20 tahun, dengan rela hati menamatkan perjanjian sewaan bagi memberi peluang kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tempat tinggal,” katanya.
Tambah beliau, dari Januari 2024 hingga kini, pihak MBS telah menerima jumlah permohonan yang tinggi.
“Setelah tapisan dibuat, terdapat hampir 100 permohonan yang layak untuk dipanggil temuduga dan dimasukkan ke dalam senarai menunggu.
“Namun, pada masa ini tiada unit kosong yang boleh disewakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

