Tomkraf perkenal perisa baharu daging lembu

SHAH ALAM - Jenama makanan kucing buatan Malaysia, Tomkraf, terus meluaskan pilihan produknya dengan memperkenalkan perisa baharu berasaskan daging lembu, di samping pengenalan pek bersaiz besar seberat tujuh kilogram.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Tomkraf, Nurul Husna Azmi berkata, pengenalan perisa daging lembu itu dibuat selepas pihaknya melihat kecenderungan pengguna yang lebih memilih makanan kucing berasaskan daging berbanding ikan.
“Sebelum ini, kami mempunyai dua perisa iaitu ayam dan tuna, tetapi selepas setahun di pasaran, kami mula merancang perisa baharu.
“Selain analisis jualan, sesi soal jawab bersama pelanggan dan pengunjung juga mendapati mereka lebih berminat terhadap perisa berasaskan daging.
“Disebabkan itu Tomkraf mengeluarkan perisa baharu ini yang masih belum banyak ditawarkan oleh jenama lain di pasaran,” katanya.

Menurutnya, perisa daging lembu itu menawarkan kandungan protein sebanyak 32 peratus, lebih tinggi berbanding ayam dan tuna yang masing-masing mengandungi 31.5 peratus.
Katanya, kandungan lemak pula masih dikekalkan pada 12 peratus untuk semua perisa demi menjaga kesihatan dan perkembangan kucing.
“Perisa daging lembu ini mudah menarik minat kucing kerana aroma dan rasa yang lebih merangsang.
“Kucing juga lebih berselera dan bertenaga selepas mencubanya, selain membantu dalam proses tumbesaran mereka,” ujarnya.
Tambahnya, perisa premium berkenaan setakat ini hanya ditawarkan dalam pek besar tujuh kilogram pada harga RM88.90, di mana setiap pembelian akan mendapat 200 gram secara percuma.
Nurul Husna turut menjelaskan bahawa pihaknya kini memberi tumpuan kepada pengeluaran pek besar yang jauh lebih jimat dan berbaloi serta pembangunan perisa baharu bagi memenuhi selera kucing.
“Kami berusaha menghasilkan perisa lain yang unik dan tidak terdapat dalam jenama makanan kucing sedia ada.
“Fokus kami adalah kelainan selain menekankan kualiti dalam aspek penjagaan makanan haiwan peliharaan,” katanya.
Tomkraf merupakan produk makanan kucing yang diperkenalkan oleh Kumpulan Karangkraf pada 2024 untuk memenuhi keperluan pemilik haiwan peliharaan.
Selain dijual di Karangkraf Mall dan beberapa kedai haiwan peliharaan sekitar Shah Alam, produk ini juga tersedia untuk pembelian secara dalam talian melalui Shopee Rasmi Tomkraf (Tomkraf Official Store), Tiktok Shop (Tomkraf Cat Shop), dan laman sesawang www.karangkrafmall.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

