Pelancong nyaris maut dibaham buaya gara-gara ingin berswafoto

MANILA – Seorang pelancong nyaris maut selepas bertindak masuk ke dalam kandang buaya semata-mata untuk berwafoto, dalam kejadian di sebuah zoo di Zamboanga Sibugay, Filipina, pada Isnin.
Mangsa lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan menyangka buaya sepanjang 4.5 meter itu hanyalah patung hiasan yang diletakkan di dalam kawasan pameran.
Menurut rakaman video tular, lelaki itu dilihat memanjat pagar besi sebelum meredah air cetek dalam kandang berkenaan sambil mengeluarkan telefon bimbit untuk berswafoto.
Bagaimanapun, buaya betina bernama Lalay yang pada mulanya tidak bergerak, tiba-tiba menyerang mangsa dengan menggigit lengannya.
Haiwan pemangsa itu kemudian menggigit pula paha lelaki tersebut sebelum memusing tubuhnya beberapa kali, teknik serangan dikenali sebagai ‘death roll’ yang lazim digunakan buaya untuk menghancurkan mangsanya.
Mangsa terperangkap hampir 30 minit sebelum penjaga zoo berjaya menyelamatkannya dengan memukul kepala buaya menggunakan bongkah simen sehingga haiwan itu melepaskan gigitan.
Mangsa mengalami kecederaan parah di lengan dan paha serta menerima lebih 50 jahitan.
Ketua Polis Balai Siay, Sarjan Joel Sajolga berkata, insiden yang berlaku di Taman Bakau dan Zoo Wetlands Kabug itu turut disaksikan beberapa pengunjung lain yang merakam detik cemas tersebut.
“Pelancong berkenaan dipercayai menyangka buaya itu hanyalah patung. Dia memanjat pagar dan memasuki kandang sebelum diserang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah amaran keselamatan yang dipaparkan di zoo atau tempat pameran haiwan liar.
“Tindakan lelaki itu bukan sahaja membahayakan nyawanya sendiri, malah turut mengundang risiko kepada pengunjung lain. Dia bernasib baik masih hidup,” katanya lagi.
Difahamkan, pihak zoo sedang menyiasat insiden tersebut dan mempertimbangkan langkah keselamatan tambahan di kawasan pameran buaya. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!