Berhenti di bahu jalan gara-gara elak treler dipandu melulu

Tular video di media sosial dipercayai rakaman kamera papan pemuka memaparkan sebuah kereta yang dipandu seorang individu terpaksa mengelak daripada sebuah treler yang dipandu secara melulu.
Tular video di media sosial dipercayai rakaman kamera papan pemuka memaparkan sebuah kereta yang dipandu seorang individu terpaksa mengelak daripada sebuah treler yang dipandu secara melulu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang pemandu kereta menempuh detik cemas apabila terpaksa mengelak sebuah treler yang dipandu secara melulu di Jambatan Pulau Indah, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang melibatkan sebuah treler jenis Volvo berwarna hijau yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.

"Treler tersebut datang dari arah Westport, Klang menuju ke Kajang sebelum memotong sebuah lagi treler di atas jambatan yang mempunyai garisan berkembar.

"Tindakan itu menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa berhenti di bahu jalan untuk mengelak kemalangan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, hasil siasatan mendapati pemandu treler berkenaan mempunyai lesen memandu yang sah dan ujian saringan air kencing terhadapnya adalah negatif daripada sebarang jenis dadah.

"Pemandu treler terbabit telah hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Kuala Langat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular video di media sosial dipercayai rakaman kamera papan pemuka memaparkan sebuah kereta yang dipandu seorang individu terpaksa mengelak daripada sebuah treler yang dipandu secara melulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!