Wang RM449,100 lesap selepas klik pautan WhatsApp

TAIPING – Seorang operator kilang kerugian hampir setengah juta ringgit selepas terpedaya dengan satu skim pelaburan tidak wujud dikenali sebagai S18-INVESTO Investment Club yang dipercayai beroperasi menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, mangsa membuat laporan polis pada Selasa jam 10.36 malam selepas menyedari dirinya telah ditipu.
Menurut beliau, mangsa dikatakan tertarik untuk menyertai skim pelaburan tersebut selepas melayari Facebook, sebelum menyertai satu kumpulan WhatsApp yang dikendalikan oleh suspek dikenali sebagai Ashley Tan.
“Mangsa dijanjikan pulangan pelaburan yang tinggi berdasarkan kenaikan harga saham, dan diminta memuat turun aplikasi dikenali sebagai IAMS FLC untuk memantau keuntungan.
“Sepanjang tempoh antara 16 Februari hingga 12 April lalu, mangsa telah melakukan 19 transaksi pindahan wang berjumlah RM449,100 ke dalam lima akaun bank berbeza,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Beliau berkata, mangsa turut diarahkan agar tidak mengeluarkan wang pelaburan sehingga tempoh matang selama tiga bulan tamat.
Bagaimanapun, katanya, selepas tempoh tersebut berakhir, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan, manakala mesej di aplikasi WhatsApp juga tidak lagi dibalas.
“Mangsa kemudian menghubungi pihak bank bagi mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa pelaburan tersebut sebenarnya tidak wujud,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!