Suspek kes bunuh warga emas ditangkap di kedai kopi

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis berjaya menahan seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh membabitkan seorang lelaki di Cherok Tokun di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11 malam pada Selasa di hadapan sebuah kedai kopi di kawasan Machang Bubok.

"Permohonan reman ke atas suspek telah dikemukakan dan dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Bukit Mertajam sehingga 6 Mei 2025 bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Helmi berkata, dengan penahanan tersebut, polis berjaya menyelesaikan kes kematian seorang lelaki berusia 63 tahun yang berlaku di sebuah pondok di Cherok Tokun pada 27 April lalu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun maut selepas dipukul dan ditikam dalam satu pergaduhan di Cherok Tokun di sini, pada petang Ahad.

Dalam kejadian jam 3.22 petang itu, mangsa dikatakan sedang berbual bersama lima rakannya termasuk suspek di lokasi berkenaan sebelum berlaku pertengkaran.

Suspek berusia 70 tahun secara tiba-tiba datang dari arah belakang dan memukul mangsa menggunakan sebatang kayu, menyebabkan mangsa rebah sebelum menikamnya dengan sebilah pisau.

Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala suspek bertindak melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!