Ibu tarik diri, Shuhada perlu bawa anak pulang

Hafidz bersama peguamnya, Akberdin ketika bertemu pemberita di luar Mahkamah Syariah Shah Alam pada Rabu.
Hafidz bersama peguamnya, Akberdin ketika bertemu pemberita di luar Mahkamah Syariah Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam hari ini membenarkan pelakon Hafidz Roshdi mendapat hak lawatan interim terhadap dua anaknya sepanjang cuti persekolahan selama dua minggu bermula 29 Mei depan.

Menurut peguam yang mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader, dua anak pelakon itu iaitu Humairah, 8, dan Umar, 5, yang kini menetap di Australia bersama ibu mereka, Nurul Shuhada Mat Shukri perlu pulang ke Malaysia.

"Shuhada selaku responden pertama perlu akur dengan perintah mahkamah, bawa pulang anak dan diserahkan kepada Hafidz untuk tempoh cuti persekolahan sahaja.

"Kemudian kita akan teruskan kepada perbicaraan bagi tuntutan induk hadanah (hak penjagaan kekal) pada 29 Julai depan. Hari ini hanya keputusan interim hadanah sahaja," katanya ketika ditemui selepas prosiding keputusan interim hadanah pada Rabu.

Pada masa sama, Akberdin memaklumkan mahkamah juga meluluskan permohonan ibu kepada Shuhada iaitu Wan Latipah Yusof untuk menarik diri sebagai responden kedua bagi tuntutan interim hadanah dan induk hadanah.

Katanya, mahkamah membenarkan dan memerintahkan Wan Latipah membayar kos ganti rugi sebanyak RM2,000 kepada Hafidz.

"Alhamdulillah, hari ini mahkamah membuat beberapa keputusan penting. Mahkamah meluluskan permohonan responden kedua iaitu ibu kepada Shuhada, untuk menarik diri daripada menjadi pihak dalam kes ini.

"Permohonan untuk menyertai kes ini sebelum ini dibuat olehnya sendiri dan kini dia memohon untuk menarik diri melalui peguamnya. Mahkamah membenarkan permohonan itu tanpa sebarang bantahan daripada pihak kami.

Artikel Berkaitan:

"Alasan penarikan diri yang dikemukakan oleh Wan Latipah adalah kerana dia tidak lagi mempunyai kawalan atau hubungan (contact) dengan anaknya memandangkan Shuhada kini menetap di luar negara," jelasnya.

Justeru, Shuhada kini satu-satunya responden yang tinggal dalam kes berkenaan selepas ibunya menarik diri dan peguam Shuhada juga sudah melepaskan perwakilan.

Akberdin mempertikai komitmen Shuhada sepanjang tempoh kes berlangsung.

"Mahkamah turut mendapati terdapat unsur kurangnya komitmen daripada pihak Shuhada. Tiada peguam baharu dilantik dan dia sendiri tidak hadir ke mahkamah untuk memberikan sebarang makluman atau permohonan," katanya.

Terdahulu, Hafidz nekad memfailkan tuntutan hadanah penuh dan interim selepas lebih setahun tidak bertemu dengan anak-anaknya, yang dipercayai berada di Australia bersama bekas isterinya.

Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada 30 April 2016 sebelum disahkan bercerai pada 27 Julai 2023. Hasil perkongsian hidup, pasangan berkenaan dikurniakan sepasang cahaya mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!