'Saya tidak kecewa, tapi saya marah...' - Hafidz Roshdi
Hafidz Roshdi tidak sabar bertemu anak-anak hujung Mei

LEBIH setahun memendam rindu, pelakon Hafidz Roshdi akhirnya diberikan hak lawatan penuh sementara ke atas dua anaknya, Humairah, 8, dan Umar, 5, selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membenarkan permohonan hak lawatan interim.
Hafidz, 30, berkata, sepanjang tempoh tersebut beliau tidak dapat berhubung atau bertemu anak-anaknya, malah segala usaha untuk berkomunikasi gagal apabila panggilan dan mesej tidak dijawab.
“Sepanjang setahun lebih saya cuba hubungi mereka, tapi tidak berjaya. Nombor yang diberikan bersama telefon bimbit tidak dijawab, mesej pun disekat.
“Saya juga pernah minta untuk berjumpa sebelum Aidilfitri tahun lepas, tapi pelbagai alasan diberi dan akhirnya pertemuan itu tidak menjadi,” katanya.
Menurutnya, lebih menyedihkan apabila beliau langsung tidak dimaklumkan tentang perkembangan anak-anaknya.

“Sekurang-kurangnya beritahu saya mereka berada di mana, nombor telefon, sama ada bersekolah atau tidak. Saya sebagai bapa ada hak untuk tahu. Saya bukan kecewa, tapi saya marah,” ujarnya.
Bagaimanapun, Hafidz bersyukur apabila akhirnya berpeluang bertemu anak-anaknya hujung Mei ini, bersempena cuti persekolahan.
“Alhamdulillah, saya dapat hak lawatan. Insya-ALLAH hujung bulan lima nanti saya akan dapat jumpa anak-anak saya,” katanya penuh keterujaan.
Mengulas kemungkinan perlu ke Australia jika bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri tidak membawa pulang anak-anak, Hafidz berkata perkara itu tidak akan berlaku kerana keputusan mahkamah perlu dihormati.
“Saya tidak akan ke sana, itu pasti. Dia perlu bawa balik dan serahkan kepada saya. Kes ini berlaku di Malaysia, jadi bidang kuasanya juga di sini. Dia membawa anak ke luar negara tanpa persetujuan saya, maka keputusan itu tidak diiktiraf,” tegasnya.
Terdahulu, Hafidz memfailkan tuntutan hadanah penuh dan interim selepas lebih setahun tidak dapat bertemu anak-anaknya yang dipercayai berada di Australia bersama bekas isterinya.
Mahkamah membenarkan hak lawatan interim bermula 29 Mei ini selama dua minggu, dan dua anaknya akan berada di bawah jagaan bapanya sepanjang tempoh itu sebelum diserahkan kembali kepada ibu mereka.
Hafidz berkahwin dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 sebelum disahkan bercerai pada 27 Julai 2023. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!