[VIDEO] Penolong pegawai perubatan direman kemuka butir matan palsu RM1.5 juta
MELAKA - Seorang penolong pegawai perubatan di sebuah Pejabat Kesihatan di negeri ini direman tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan butir matan palsu bernilai kira-kira RM1.5 juta.
Perintah reman sehingga Selasa depan itu dikeluarkan oleh Majistret Uthman Abd Ghani selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 47 tahun dipercayai terbabit dalam pengemukaan butir palsu melibatkan kerja-kerja perolehan peralatan dan bukan perubatan, yang sebenarnya tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Suspek ditahan kira-kira jam 2.28 petang pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
“Difahamkan, suspek bertanggungjawab meluluskan perolehan kepada kontraktor namun kemudiannya mengambil keseluruhan wang berjumlah RM1.5 juta dan membeli barangan melalui platform e-dagang, yang tidak menepati spesifikasi serta kualiti sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya ringkas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!