Bakar pejabat sendiri elak kes rasuah terbongkar

MALUKU – Seorang bendahari Komisi Pemilihan Umum (KPU) Kabupaten Buru, Indonesia, ditahan selepas disyaki mengarahkan pembakaran pejabat agensi itu dalam usaha menghapuskan dokumen berkaitan dana Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) 2024 berjumlah Rp33 bilion (kira-kira RM8.6 juta).
Ketua Polis Daerah Buru, AKBP Sulastri Sukidjang berkata, suspek dikenali sebagai RH, 48, dipercayai menjadi dalang utama dalam insiden kebakaran yang berlaku pada 28 Februari lalu di Jalan Masjid Agung, Namlea.
“Motif utama adalah untuk mengelakkan pemeriksaan terhadap penggunaan anggaran Pilkada 2024 yang disalurkan oleh KPU Pusat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu lalu.

Siasatan mendapati RH telah menyediakan empat botol petrol dan minyak tanah sebelum menyerahkannya kepada dua individu, SB, 45, dan AT, 42, untuk melaksanakan pembakaran. Kedua-dua mereka memasuki pejabat melalui tingkap belakang yang telah dibuka lebih awal.
“Mereka menyiram petrol dan minyak tanah di bahagian bawah serta siling bangunan sebelum menunggu masa sesuai untuk menyalakan api,” jelas Sulastri.
Kebakaran tersebut memusnahkan bilik pejabat dan ruang penyimpanan arkib, mengakibatkan kehilangan dokumen penting berkaitan laporan kewangan Pilkada.

RH, SB dan AT kini berdepan pertuduhan mengikut Pasal 187 ayat (1) junto Pasal 55 ayat (1) Kitab Undang-undang Hukum Pidana (KUHP) dengan hukuman maksimum penjara 12 tahun.
Menariknya, SB dan AT tidak menerima sebarang bayaran untuk tindakan mereka, sebaliknya bertindak atas dasar ‘hutang budi’ kepada RH. Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan pihak lain dalam kes ini.
Insiden ini mencetuskan kebimbangan mengenai integriti pengurusan dana awam serta keperluan memperketat pengawasan terhadap institusi pilihan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!