Dua anggota polis direman disyaki minta rasuah RM6,000

SEREMBAN – Dua anggota polis direman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta rasuah sebanyak RM6,000 daripada seorang pemilik syarikat yang ditahan dalam satu pemeriksaan kenderaan di sebuah stesen di Seremban.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret, Nurul Saqinah Rosli selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Perintah reman itu berkuat kuasa dari 29 April hingga 3 Mei.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan antara jam 1 tengah hari hingga 3 petang pada Isnin di dua lokasi berbeza sekitar Seremban.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Ahad lalu ketika mereka menjalankan tugas pemeriksaan ke atas kenderaan individu terbabit.
“Semasa pemeriksaan, kedua-dua suspek telah mengambil kad pengenalan individu tersebut dan meminta wang rasuah sekitar RM6,000 sekiranya mahu kad pengenalannya dipulangkan semula,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

