Apabila parti tempatan sudah 'setaraf' pengaruh Rusia dan Putin

Singapura sangat menjaga kestabilan politiknya.
Singapura sangat menjaga kestabilan politiknya.
A
A
A

MERAK Jalanan bukanlah minat sangat bercerita pasal politik, tetapi tertarik dengan kisah sebuah parti tempatan yang dikatakan cuba campur tangan dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025.

Kalau betul dakwaan ini, parti tersebut nampaknya sudah layak berdiri sebaris dengan Rusia pimpinan Presidennya, Vladimir Putin yang pernah dituduh cuba mempengaruhi dalam dua siri Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. Bukan calang-calang pencapaian untuk parti politik dari Malaysia!

Merak Jalanan akui, parti tersebut bukan lagi sekadar parti tempatan. Dengan hubungan erat bersama gerakan Islam di luar negara, pengaruhnya memang sudah merentasi sempadan sehingga membina nama di persada antarabangsa. Namun, soal politik luar negara bukan boleh main redah sahaja.

Singapura bukan tempat untuk tersilap langkah. Negara itu sangat menjaga kestabilan politiknya dan pantang ada unsur luar cuba mengganggu gugat proses demokrasi mereka.

Kalau benar ada campur tangan, Merak Jalanan nasihatkan mana-mana orang politik kita, berhati-hatilah. Bukan sahaja imej parti boleh terjejas, malah Malaysia juga boleh terkena tempias. Dunia hari ini bukan macam dulu, satu langkah salah boleh tular dalam masa beberapa saat sahaja.

Merak Jalanan percaya, politik bukan hanya soal semangat dan idealisme. Ia juga tentang membaca medan, memahami musuh dan memilih medan tempur yang betul. Kalau tersilap langkah, boleh jadi bahan ketawa serantau. Sekali-sekala berangan besar itu bagus, tapi jangan sampai nak jadi Putin, akhirnya tersungkur macam badut sarkas.

Apa pun, Merak Jalanan akui, apabila sudah sampai tahap dibandingkan dengan Rusia di bawah Putin, parti tersebut sebenarnya bukan calang-calang. Tapi kena ingat, kuasa besar pun kena main dengan strategi, bukan semangat sahaja.

Yang penting, jangan sampai berpolitik sampai terhantuk baru tengadah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!