68 maut dalam serangan udara AS ke atas pusat tahanan di utara Yaman - Houthi

Angka korban akibat serangan udara AS ke atas sebuah pusat tahanan di utara Yaman pada Isnin meningkat kepada 68 orang manakala 47 lagi cedera - Foto: Agensi
Angka korban akibat serangan udara AS ke atas sebuah pusat tahanan di utara Yaman pada Isnin meningkat kepada 68 orang manakala 47 lagi cedera - Foto: Agensi
A
A
A

SANAA - Angka korban akibat serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas sebuah pusat tahanan di utara Yaman pada Isnin meningkat kepada 68 orang, manakala 47 lagi cedera, lapor Xinhua memetik saluran TV Al-Masirah yang dikendalikan Houthi.

Kumpulan Houthi, yang menguasai sebahagian besar kawasan di utara Yaman berkata semua mangsa adalah pendatang tanpa izin dari Afrika yang ditahan di pusat tahanan di Saada, ibu kota wilayah Saada, utara negara itu.

Menurut saluran televisyen itu, kesemua 68 mayat berjaya dikeluarkan daripada runtuhan selepas pasukan pertahanan awam memadamkan kebakaran yang tercetus akibat serangan udara AS itu. Mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

"Satu daripada peluru berpandu Amerika yang mengenai pusat tahanan itu tidak meletup. Pihak berkuasa berkaitan sedang mengendalikan objek itu dengan penuh berhati-hati," menurut saluran televisyen Houthi.

"Pendatang dalam pusat ini berada di bawah seliaan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa dan tindakan menyerang pusat ini adalah satu jenayah perang sepenuhnya," menurut Kumpulan Houthi dalam satu kenyataan di saluran itu.

Menurut IOM, Yaman kekal sebagai negara transit bagi ribuan migran yang bergerak antara Tanduk Afrika dan Arab Saudi meskipun negara itu dilanda perang saudara selama bertahun-tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!