Angka korban di Gaza cecah 52,400, 35 lagi rakyat Palestin maut

Penduduk Palestin kerosakan di bangunan Sekolah Yafa yang menjadi sasaran tentera Israel di Gaza City. Foto AFP
Penduduk Palestin kerosakan di bangunan Sekolah Yafa yang menjadi sasaran tentera Israel di Gaza City. Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Sekurang-kurangnya 35 lagi penduduk Palestin maut dalam serangan udara Israel di Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban akibat perang genosid Israel sejak Oktober 2023 meningkat kepada 52,400 orang, menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kementerian itu dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa seramai 109 lagi mangsa cedera telah dibawa ke hospital, menjadikan jumlah keseluruhan yang cedera akibat serangan itu meningkat kepada 118,014 orang.

"Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat menghampiri mereka," menurut kenyataan itu.

Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac lalu dan sejak itu lebih 2,300 orang maut serta hampir 6,000 yang lain cedera, meskipun gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan telah dimeterai pada Januari.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah itu. – Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!