NetApp sokong, bantu perniagaan manfaat potensi AI

Pengurusan jumlah data besar yang diperlukan untuk menyokong AI. - Gambar hiasan
Pengurusan jumlah data besar yang diperlukan untuk menyokong AI. - Gambar hiasan
A
A
A

SELARI kepantasan transformasi digital negara, NetApp Malaysia Sdn Bhd (NetApp) memperhebat usaha menyokong perniagaan tempatan dalam meneroka kecerdasan buatan (AI) dan strategi data pintar.

Pengurus Negara NetApp Malaysia, Alwyn David berkata, pihaknya fokus untuk membantu perniagaan memodenkan infrastruktur IT bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi AI dan data.

“AI sedang berkembang pesat daripada teknologi yang baharu muncul kepada keperluan perniagaan.

“Syarikat di Malaysia tidak lagi bergantung kepada pendekatan tunggu dan lihat sebaliknya aktif meneroka AI untuk meningkatkan inovasi, pengalaman pelanggan dan daya saing,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, dengan inisiatif AI negara yang semakin berkembang merentasi pelbagai sektor, pengurusan jumlah data besar yang diperlukan untuk menyokong AI kekal menjadi cabaran utama bagi banyak organisasi.

Menurutnya, dapatan dari NetApp’s 2024 Cloud Complexity Report mendapati 74 peratus perniagaan global menganggap data sebagai faktor kejayaan paling kritikal dalam penerimaan AI diikuti dengan infrastruktur IT pada 71 peratus.

“Hal ini menguatkan lagi keperluan untuk strategi data pintar yang selamat, boleh diperluaskan dan kos efektif,” katanya.

Sehubungan itu, bagi mengatasi cabaran tersebut, NetApp memperkenalkan ASA A-Series, penyelesaian storan blok berprestasi tinggi yang dibina untuk pelbagai beban kerja.

Artikel Berkaitan:

“Integrasinya dengan penyedia hiperskala utama seperti Amazon Web Services, Microsoft Azure dan Google Cloud menawarkan fleksibiliti dan kebolehskalaan data yang lebih besar kepada perniagaan,” katanya.

Ujarnya lagi, NetApp turut bekerjasama dengan penyedia infrastruktur AI terkemuka termasuk NVIDIA dan Domino Data Lab untuk menyediakan rangkaian AI yang lancar daripada pengiraan dan rangkaian kepada storan dan perisian.

Dalam pada itu, sehubungan peningkatan kes pelanggaran data, termasuk lonjakan 1,192 peratus dalam kes kecurian data pada tahun 2023 menurut Cyber Security Malaysia, keperluan untuk ketahanan siber menjadi lebih mendesak dari sebelumnya.

“Pendekatan keselamatan tradisional tidak lagi mencukupi dalam landskap ancaman siber yang dipacu AI pada hari ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa ONTAP Autonomous Ransomware Protection dengan AI (ARP/AI) daripada NetApp menawarkan pengesanan ransomware masa nyata dalam storan perusahaan dan telah menerima penarafan AAA daripada SE Labs.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!