Bukan masa berpaling, penyokong United tagih sentuhan Amorim

PENYOKONG setia Manchester United mula menyanyikan lagu keramat The Red Devils selepas satu jam keputusan seri 1-1 menentang Bournemouth di Stadium Vitality.
"20 kali, 20 kali, Manchester United. 20 kali, 20 kali, aku kata. 20 kali, 20 kali, Manchester United, bermain bola sepak cara Matt Busby."
Lagu ikonik ini telah sekian lama menjadi lambang kebanggaan serta pengubat duka penyokong sejak United menjulang kejuaraan liga ke-20 mereka, yang turut menyaksikan permulaan persaraan lagenda pengurus, Sir Alex Ferguson, pada 2013.
Namun, pada Ahad lalu, nyanyian itu bergema dengan nada yang lebih memilukan.
Ketika lagu itu dinyanyikan, para penyokong mungkin belum mengetahui bahawa Liverpool bakal dimahkotakan sebagai juara. Namun, mereka sedar detik itu semakin menghampiri, saat di mana musuh ketat mereka akan menyamai pencapaian United, yang selama ini berdiri megah sebagai kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Inggeris.
Walaupun jaringan penyamaan pada masa kecederaan oleh Rasmus Hojlund berjaya mengelakkan United daripada menelan kekalahan dalam satu lagi perlawanan musim yang penuh kepiluan ini, realiti suram tetap sukar untuk diselindungkan.
"Oh ya, ia sangat bermakna. Kami amat berbangga apabila mencapai kejuaraan ke-20 itu.
"Kini Liverpool menyamai pencapaian kami, malah mereka memiliki peluang lebih cerah untuk meraih kejuaraan ke-21 dan ke-22 berbanding kami," kata Adam Bell, penyokong tegar United sejak musim 1973-74, musim yang menyaksikan kelab itu diturunkan ke Divisyen Kedua.
Rakannya, Andrew Harris, turut berkongsi pandangan serupa.
"Jika kita imbas kembali, perkara seperti ini berlaku mengikut kitaran di Manchester United.
"Kita pernah melalui era kegemilangan Busby Babes dan pasukan 1968, sebelum mengalami kemerosotan pada era 1970-an dan 1980-an. Kemudian muncul Sir Alex yang mengembalikan maruah kelab. Kini, kita seolah-olah memasuki satu lagi zaman ‘Glasial’," katanya.
C/H: Amorim dalam misi kebangkitan
Selepas era penuh kegagalan di bawah kendalian David Moyes, Louis van Gaal, Jose Mourinho, Ole Gunnar Solskjaer dan Erik ten Hag, kini giliran Ruben Amorim pula menggalas tanggungjawab untuk mengeluarkan United daripada zaman kejatuhan ini.
Namun, pencapaian Amorim sejak mengambil alih pada November lalu masih belum meyakinkan, dengan keputusan seri di Bournemouth menyaksikan United hanya mengutip dua mata daripada lima perlawanan terakhir.
United naik satu tangga ke kedudukan ke-14, namun tetap berada di landasan untuk mencatatkan prestasi terburuk sejak mereka tersingkir ke Divisyen Kedua lebih 50 tahun lalu.
Catatan terburuk sejak itu ialah tempat ke-13 pada musim 1989-90, musim yang juga menyaksikan Liverpool meraih kejuaraan liga ke-18 mereka.
Salah satu kekuatan Amorim adalah kefahamannya terhadap sejarah dan budaya kelab. Beliau juga tidak pernah lari daripada menjawab soalan sukar.
Mengenai kejayaan Liverpool, Amorim menegaskan ia bukan keutamaannya sebaliknya fokus utamanya adalah membina kembali United.
"Pertama sekali, kami perlu fokus pada diri sendiri, bukan pada pasukan lain. Yang penting adalah kejujuran. Pada masa ini, kami berada di tahap yang berbeza berbanding Liverpool.
"Namun saya masih ingat, ketika saya mula mengikuti Liga Perdana Inggeris, keadaannya adalah sebaliknya. Segala-galanya boleh berubah," katanya.
Amorim turut mengingatkan bahawa United tidak boleh terlalu terburu-buru merancang jauh ke hadapan.
"Matlamat utama kami adalah untuk memenangi Liga Perdana. Saya tidak gila, saya tahu itu tidak akan berlaku tahun depan.
"Namun, kami sedang membina sesuatu dan perkara kecil yang kami capai tahun ini sangat penting. Kami perlu memperbaiki diri pada musim depan," katanya.
Dalam kalangan penyokong, wujud rasa simpati terhadap Amorim, walaupun ramai yang tidak meletakkan harapan tinggi untuk United menjuarai Liga Europa musim ini.
Dalam keadaan biasa, pertembungan separuh akhir menentang Athletic Bilbao yang kini menduduki tempat keempat La Liga sudah cukup mencabar.
United di bawah kendalian Ferguson pernah tewas kepada Bilbao dalam pusingan 16 terbaik Liga Europa pada musim 2011-12, ketika Andoni Iraola yang kini pengurus Bournemouth masih bermain untuk kelab Basque itu.
Musim ini, penyokong lebih mengharapkan keajaiban berbanding meletakkan harapan realistik.
Kemenangan di final, yang bakal berlangsung di Bilbao (di tanah sendiri buat lawan) bukan sahaja akan membuka laluan ke Liga Juara-Juara, malah menjadi satu-satunya tiket untuk United kembali ke pentas Eropah.
Ferguson memerlukan hampir empat musim sebelum menghadiahkan trofi pertamanya kepada United, yang menjadi pemangkin kebangkitan kelab tersebut.
Persamaan situasi antara musim ini dan musim 1989-90 sukar untuk diabaikan, khususnya melihat kepada kedudukan liga ketika itu.
Bezanya, dahulu tiada media sosial, tiada liputan 24 jam tanpa henti dan tiada pelbagai platform untuk meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan kelab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!