Atlet tidak digugurkan sebaliknya tamat kontrak: MSN

Ahmad Shapawi mengadakan sidang media selepas taklimat berhubung penyertaan atlet negara dalam beberapa kejohanan di luar negara berikutan penularan jangkitan Covid-19 di Majlis Sukan Negara hari ini. - Foto: Bernama
Ahmad Shapawi mengadakan sidang media selepas taklimat berhubung penyertaan atlet negara dalam beberapa kejohanan di luar negara berikutan penularan jangkitan Covid-19 di Majlis Sukan Negara hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menolak dakwaan beberapa atlet yang menyatakan mereka digugurkan daripada skuad kebangsaan, sebaliknya kontrak mereka telah berakhir pada penghujung tahun lepas.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan, program ke arah Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA 2018-2019 tamat pada 31 Disember lalu.

"Namun kontrak tersebut disambung sehingga Mac ini bagi proses 'cooling period', serta membuat penilaian semula sebelum memulakan pusingan program penyediaan atlet ke arah temasya utama yang baharu.

"Bagaimanapun program persediaan atlet ke arah Sukan Olimpik 2020 yang bermula sejak 2016 masih diteruskan, sehingga temasya terbesar dunia itu berakhir pada Ogos ini," katanya selepas taklimat penularan wabak COVID-19 bersama Kementerian Kesihatan (KKM) di MSN hari ini.

Untuk rekod, penembak negara, Muhammad Ezuan Nasir Khan meluahkan rasa terkilan ekoran penggugurannya daripada skuad kebangsaan, selepas 14 tahun menabur bakti dalam pasukan negara.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Shapawi berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh utama yang lain, bagi memulakan pusingan baru program penyediaan atlet ke arah temasya utama, seperti Sukan Olimpik 2020, Sukan SEA 2021, Sukan Asia 2022 dan Sukan Komanwel 2022.

"MSN bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan kebangsaan, telah selesai mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) melibatkan 23 jenis sukan di bawah Program Podium dan Pelapis Kebangsaan.

"Perbincangan itu adalah bagi memuktamadkan senarai nama atlet, jurulatih, pendedahan latihan dan pertandingan, bagi program penyediaan atlet ke arah temasya sukan mengikut pusingan program latihan yang baharu bermula tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan keputusan yang dibuat semasa mesyuarat berkenaan, seramai 472 atlet telah dipilih untuk memulakan program latihan di bawah Program Podium, manakala 176 atlet diletakkan di bawah Program Pelapis Kebangsaan, namun jumlah bagi program pelapis dijangka akan meningkat, selepas penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Johor pada Julai ini.

Pecahan atlet mengikut kumpulan sukan adalah 35 atlet bagi Sukan Olimpik 2020, 125 atlet bagi Sukan Asia 2022 dan Sukan Komanwel 2022, 312 atlet bagi Sukan SEA 2021, manakala 176 adalah atlet pelapis.

MSN dan persatuan sukan kebangsaan telah menetapkan kriteria pemilihan yang lebih khusus, iaitu kumpulan atlet untuk temasya Sukan Olimpik 2020 adalah melibatkan mereka yang telah layak secara merit.

Manakala kumpulan atlet untuk temasya Sukan Asia 2022 dan Sukan Komanwel 2022 adalah meliputi pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, pemenang pingat di Sukan Asia 2018 dan Sukan Komanwel 2018 serta pemenang pingat di Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia bagi tahun 2018-2019.

Kumpulan terakhir ialah bagi atlet untuk temasya Sukan SEA 2021 yang terdiri daripada pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA 2019, atlet berusia 21 tahun yang meraih pingat emas di SUKMA 2018 serta pemenang pingat di Kejohanan Remaja Dunia, Kejohanan Remaja Asia atau Sukan Komanwel bagi tempoh 2018-2019.

Ahmad Shapawi berkata, seramai 93 jurulatih tempatan dan 30 jurulatih luar negara telah disahkan, untuk mengendalikan program latihan atlet di bawah Program Podium dan Pelapis.

"Kami juga turut meluluskan sebanyak 531 pertandingan pendedahan dan 149 latihan pendedahan dalam dan luar negara, bagi tahun 2020," katanya.

Katanya, pihaknya telah memulakan pertemuan dengan atlet dan jurulatih secara berperingkat, bagi menerangkan perancangan yang dibuat dan keputusan yang telah dicapai, dalam mesyuarat JKK sebelum ini.- Bernama