Penyakit berjangkit: Dua masih dirawat di hospital

Mansor (tengah) ketika ditemui selepas membuat lawatan ke lokasi kejadian.
Mansor (tengah) ketika ditemui selepas membuat lawatan ke lokasi kejadian.
A
A
A

YAN - Hanya dua pesakit yang masih menerima rawatan di hospital akibat mengalami simptom jangkitan penyakit berjangkit selepas pulang dari sebuah kem di sini, manakala enam lagi dirawat sebagai pesakit luar.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, pesakit yang masih dirawat ialah seorang pelajar berumur 14 tahun, manakala seorang lagi dikesan mengalami simptom jangkitan ialah seorang pemandu bas berusia 30-an yang membawa mereka ke kem berkenaan.

Menurutnya, kesemua mereka yang mengalami jangkitan telah dibawa ke Hospital Yan pada mulanya sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.

"Setakat ini, mereka telah menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Enam lagi yang dirawat sebagai pesakit luar bagaimanapun telah dibenarkan keluar," katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan ke lokasi kejadian pada Ahad.

Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah turut melakukan lawatan ke lokasi kejadian.
Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah turut melakukan lawatan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, antara simptom dikesan ialah pesakit mengalami ruam dan kulit melepuh.

Menurut Mansor, setakat ini, kes berkenaan dilaporkan terkawal selain meminta orang ramai agar tidak panik serta menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sampel air dan darah telah diambil untuk menjalankan siasatan dan kajian mengenai penularan berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan terdapat seramai 39 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah di daerah Kuala Muda dikesan mengalami jangkitan akibat penularan penyakit berjangkit selepas pulang dari menyertai kem di Yan baru-baru ini.

Mansor dalam kenyataan terdahulu berkata, penyakit berjangkit itu setakat ini masih belum dikenal pasti.

Difahamkan, kira-kira 100 pelajar dari sebuah sekolah di Daerah Kuala Muda terlibat dalam aktiviti di sebuah kem di Daerah Yan bermula Khamis hingga Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!