‘Cinggey’ punca prestasi Safawi tiba-tiba jatuh?

Pemain JDT Muhamad Safawi Rasid - Foto Bernama
Pemain JDT Muhamad Safawi Rasid - Foto Bernama
A
A
A

APA sudah jadi Safawi Rasid? Tiba-tiba saja nama Safawi mula hangat dan menjadi trending dalam kalangan warganet khususnya para peminat dan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT).

Semuanya bermula dengan aksi hambar Safawi ketika berdepan kelab Korea Selatan, Suwon Bluewings pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam kelmarin.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim cukup kecewa melihat aksi serba tak menjadi Safawi. Selaku bos besar JDT, Tunku Ismail sememangnya berhak marah dan kecewa.

Kemarahan Tunku Ismail itu tak dapat dibendung lagi apabila baginda meluahkan apa yang terbuku dalam hati menerusi Instagramnya. Maaf kata, mungkin hanya jasad Safawi di tengah padang tetapi jiwa hilang entah ke mana.

Melihatkan apa yang berlaku pada Safawi, teringat pula filem arahan pengarah tersohor, Mamat Khalid berjudul Rock Oo. Filem itu memaparkan kisah jatuh bangun kumpulan muzik rock kapak sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.

Dalam satu babak, Ketua Kumpulan Rimba Bara, Jijoe lakonan Khir Rahman menegur Slash yang dilakonkan Pekin Ibrahim. Katanya: “Ada tiga perkara yang boleh menjatuhkan sesebuah negara, satu rasuah, kedua tidak menepati masa dan ketiga cinggey”.

‘Cinggey’ yang dimaksudkan Jijoe itu adalah bahasa pasar yang bermaksud teman wanita.

Berbalik apa yang berlaku kepada Safawi, ramai yang mula mengaitkan prestasi hambar Safawi disebabkan penangan seorag wanita. Malah, Tunku Ismail sendiri mendedahkan kemerosotan prestasi Safawi ketika ini angkara teman wanitanya yang juga pelakon, Syifa Melvin.

Artikel Berkaitan:

Apapun sebaik-baiknya Safawi harus lebih bijak mengawal situasi, sama ada di tengah padang mahupun di luar padang. Dalam meniti usia sebagai anak muda yang semakin matang, Safawi tidak harus terbawa-bawa dengan emosi luar ke tengah padang.

Terima teguran dan amaran Tunku Ismail sebagai sesuatu yang positif. Jadikan apa yang berlaku sebagai satu pengajaran. Hari ini hari ulang tahun kelahiran anda, ayuh jadikan hari ini hari kebangkitan anda! Selamat hari ulang tahun kelahiran yang ke-23 Safawi.