Lebih 1 juta dijangka lawat Menara KL tahun ini

KUALA LUMPUR - Lebih 1 juta pelancong tempatan dan luar negara dijangka mengunjungi Menara Kuala Lumpur (Menara KL) sepanjang tahun ini.
Pengerusi Bukan Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, sasaran tersebut sesuatu yang realistik susulan kejayaan Menara KL pada tahun lalu, menarik lebih 900,000 pengunjung melawat bangunan ikonik Malaysia berusia 29 tahun itu.
Berikutan itu, pihaknya telah memperuntukkan RM20 juta bagi menaik taraf pelbagai kemudahan di Menara KL.
"Apa yang penting proses pengubahsuaian dan penambahbaikan pelbagai kemudahan bukan hanya meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengunjung, malah menjadikan Menara KL lebih dikenali di seluruh dunia.

"Pembukaan semula Menara KL ini bukan sekadar kesinambungan operasi tetapi visi kami adalah untuk memperkasakan legasi bangunan ikonik ini dengan pelbagai inovasi baharu selari dengan keperluan semasa dan perkembangan teknologi terkini," katanya selepas membawa wakil media meninjau kemudahan di Menara KL pada Sabtu.
Turut serta dalam tinjauan mesra terbabit adalah Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Khairil Faizal Othman dan Ketua Pembangunan Perniagaan, Aemizureen Kamarudin.
Menurut Keng Cheng, antara kemudahan yang dinaik taraf termasuklah 'Tower Terrace', Sky Deck, Observation Deck dan Orbit Revolving Dining (dulu dikenali sebagai Restoran Berputar Menara KL).
Sementara itu, Keng Cheng memberi jaminan bahawa semua 193 kakitangan Menara KL akan menerima gaji sama seperti diterima daripada pengurusan bangunan terbabit, sebelum ini.
Terdahulu media melaporkan, Menara Kuala Lumpur akan beroperasi semula bermula jam 9 pagi Sabtu untuk kunjungan umum.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, langkah itu selari dengan komitmen berterusan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan pekerja yang terlibat di samping menyediakan perkhidmatan serta persekitaran kondusif dan selamat buat pengunjung.
Menerusi pengurusan baharu premis Menara Kuala Lumpur yang diterajui oleh syarikat LSHSM, kerajaan komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang efisien, berorientasikan pelanggan dengan penambahbaikan berterusan kepada aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara.
Bangunan Menara Kuala Lumpur ditutup sementara pada 17 April lalu untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
