FAM tak lepas tangan isu tunggakan gaji pemain

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memberi jaminan bahawa pihaknya tidak pernah lepas tangan dalam memantau isu tunggakan gaji pemain dan aspek pengurusan kewangan pasukan dalam saingan Liga Malaysia.
Presidennya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, pemantauan secara berterusan serta sesi libat urus bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL), persatuan bola sepak negeri dan kelab-kelab sentiasa dilakukan bagi memastikan kelangsungan liga berjalan lancar dan profesional.
“FAM memang sentiasa memantau masalah gaji dan isu liga. Kita tidak duduk diam.
“Kita akan meneruskan sesi libat urus secara berterusan dengan pihak MFL, dan juga dengan persatuan-persatuan bola sepak negeri serta kelab-kelab untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Apabila timbul isu seperti tunggakan gaji, kita akan bantu dari segi pemantauan, nasihat, dan tindakan susulan melalui kerjasama dengan MFL,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak MFL kini dalam proses memperkemaskan pendekatan pengurusan kewangan kelab-kelab termasuk perancangan untuk melaksanakan sistem ‘financial fair play’.
Katanya, langkah tersebut bertujuan mengawal perbelanjaan pasukan agar selari dengan kemampuan kewangan masing-masing, sekali gus mengelakkan risiko kewangan yang boleh menjejaskan kelangsungan sesebuah kelab.
“Perbincangan sedang berjalan dengan setiap kelab dan negeri bagi memberi kefahaman dan panduan ke arah itu. Yang penting, kita mahu kelab berbelanja ikut kemampuan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
