Saya tak serik bertanding lagi - Abd Muhaimin

Muhaimin (berdiri, tiga dari kiri) bersama sebahagian jentera yang hadir memberikan sokongan di Kompleks Pas Kawasan Kampar, Tapah pada Sabtu.
Muhaimin (berdiri, tiga dari kiri) bersama sebahagian jentera yang hadir memberikan sokongan di Kompleks Pas Kawasan Kampar, Tapah pada Sabtu.
A
A
A

TAPAH – Calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek menyatakan beliau tidak serik untuk bertanding lagi walaupun tewas dalam percubaan pertamanya.

Menurut Abd Muhaimin, beliau menerima keputusan PRK itu dengan reda dan menganggap ia sebagai pengalaman berharga dalam perjuangan politiknya.

"Tak ada rasa serik. Ini pengalaman pertama saya bertanding dalam PRK dan saya rasa apa yang pernah dirasai oleh kawan-kawan lain sebelum ini.

"Kalau diberikan mandat lagi oleh PN, saya akan terus berjuang kerana kita bertanding ini untuk berlumba-lumba membuat kebaikan," katanya dalam sidang media di Kompleks Pas Kawasan Tapah di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Abd Muhaimin turut menzahirkan penghargaan kepada jentera PN dari seluruh negara yang bertungkus lumus membantu sepanjang kempen PRK berkenaan.

Beliau turut berterima kasih kepada kepimpinan PN yang memberikan kepercayaan kepada dirinya untuk bertanding mewakili parti itu.

"Jutaan terima kasih kepada semua jentera. Mereka korbankan masa, wang ringgit dan tenaga demi membantu perjuangan ini. Hanya ALLAH SWT yang dapat membalas jasa baik mereka.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi yang mengundi pada PRK kali ini dan juga kepada mereka yang berhasrat untuk mengundi tetapi tidak berjaya pulang untuk mengundi.," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhaimin turut mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional, Dr Mohamad Yusri Bakir atas kemenangan yang diraih.

Artikel Berkaitan:

"Saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dr Ustaz Yusri. Teruskan bekerja untuk rakyat.

"Kita bertanding dalam sistem demokrasi, siapa yang menang perlu menggalas amanah dengan jujur dan ikhlas," katanya.

Pada PRK itu, Abd Muhaimin dan seorang lagi calon dari Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS tewas kepada Mohamad Yusri dengan majoriti 5,006 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!