Penumpang Myvi maut kena dua das tembakan di kepala, lengan - Polis

KUCHING - Terdapat dua kesan tembakan pada bahagian kepala dan lengan kanan mangsa yang dilaporkan maut dalam insiden tembakan di dalam kenderaan ketika melalui Jalan Stephen Yong Kuching, pada awal pagi Sabtu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk bagi mengenal pasti jenis senjata yang digunakan.
"Mangsa lelaki tempatan berusia 34 tahun merupakan penumpang di bahagian hadapan kereta berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati mangsa terkena dua das tembakan masing-masing di kepala dan lengan kanan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Susulan kejadian itu, Mohd Irwan Hafiz berkata, tiga rakan mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Soal siasat sedang dilakukan," katanya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan, lelaki tersebut maut dipercayai terkena tembakan di bahagian kepala ketika berada dalam kereta jenis Perodua Myvi.
Dua rakan mangsa telah datang ke Balai Polis Batu Kawa, kira-kira jam 5.30 pagi bagi memaklumkan kejadian tersebut.
Setakat ini, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
