Lelaki maut ditembak di kepala ketika memandu

KUCHING - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terkena tembakan di bahagian kepala ketika sedang memandu di Jalan Stephen Yong Kuching, di sini pada awal pagi Sabtu.
Lelaki berusia 34 tahun itu dilihat terbaring dalam kereta oleh dua rakannya sebelum laporan dibuat kira-kira jam 5.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, dua lelaki telah datang ke Balai Polis Batu Kawa memaklumkan rakan mereka telah terbaring di dalam kereta dipercayai terkena tembakan semasa memandu.
"Pasukan siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan serta pegawai perubatan telah mengesahkan kematian mangsa yang juga seorang lelaki tempatan.
"Terdapat kesan tembakan pada kepala mangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Sylvarius di talian 013-863 7241," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!