Pemilihan PKR: 'Banyak aduan tak puas hati, JPP akan teliti

KOTA KINABALU - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud mengakui terdapat banyak aduan telah dibuat oleh pihak yang tidak berpuas hati berhubung pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mustapha berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) ketika ini telah membuka ruang kepada mana-mana calon yang tidak berpuas hati untuk menghantar aduan mereka.
"Saya dimaklumkan banyak juga aduan yang telah dibuat oleh pihak-pihak yang merasakan tidak puas hati.
"Jadi semuanya akan diteliti dan kita tunggulah keputusan, pertimbangan daripada JPP jika ada lagi yang perlu diadakan semula (pemilihan)," katanya ketika hadir pada sambutan Hari Raya Sekampung, di Masjid Tun Ahmad Shah di Kampung Inanam Laut, di sini pada Sabtu.
Katanya lagi, selain isu berkenaan, dua lagi cabang akan terlibat pemilihan semula iaitu Bahagian Silam dan Semporna.
"Silam ini hanya melibatkan ketua cabang sahaja sebab ada masalah teknikal dan cabang Semporna melibatkan jawatankuasa cabang juga disebabkan masalah teknikal," katanya.
Sementara itu, pada majlis sama, Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Sabah, Datuk Peto Galim berkata, walaupun ada yang gagal mempertahankan jawatan di peringkat cabang namun itu bukan bermakna mereka tidak berpeluang dijadikan calon pada PRN nanti.
"Apa yang saya boleh katakan di sini, mengikut pengalaman-pengalaman sebelum ini, Ketua-Ketua Cabang tidak mestinya 100 peratus menjadi wakil calon dalam pilihan raya.
"Banyak faktor yang dilihat oleh pemimpin dan kumpulan kita, kerana kemungkinan Ketua Cabang itu ada keistimewaan sendiri daripada bertanding dalam pilihan raya," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak banyak isu dikaitkan dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Datuk Seri Christina Liew yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini, malah sumbangannya terhadap parti tidak boleh dinafikan.
"Beliau adalah pejuang utama, dia adalah ahli dari mula sampai sekarang dan dia telah banyak menyumbang kepada PKR di Sabah ini, kepada kerajaan dan kepada PH.
"Jadi kita di pimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) akan mencari jalan di mana yang dia boleh mainkan dan memberi impak positif kepada kekuatan PKR di Sabah," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah menasihatkan ketua cabang yang menang dalam pemilihan supaya tidak terlalu yakin dan lupa diri.
"Janganlah sesiapa yang menang dalam pemilihan parti ini, selepas sudah menjadi ketua cabang menabik dada, bergembira, syok dan lupa diri, mengatakan dia mesti bertanding dan menjadi calon," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
