Penyokong JDT kuasai SNBJ

Antara penyokong JDT yang hadir ke stadium.
Antara penyokong JDT yang hadir ke stadium.
A
A
A

PEKARANGAN Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mula dibanjiri lautan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Sri Pahang yang berlangsung malam ini.

Tinjauan Sinar Harian sekitar jam 6 petang mendapati suasana di luar stadium cukup meriah dengan kehadiran penyokong berbaju merah biru yang hadir lebih awal bagi memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Selatan.

Bagaimanapun, kelibat penyokong Sri Pahang dilihat kurang menyerlah dengan jumlah kehadiran yang tidak seramai penyokong JDT.

Mungkin masih terlalu awal untuk kehadiran lebih ramai penyokong Sri Pahang memandangkan perlawanan akan bermula jam 9 malam, dengan sebilangan besar dijangka hadir pada minit-minit akhir untuk menyokong pasukan kesayangan mereka.

Bagi peniaga jersi, Saipuddin Ahmad mengakui kehadiran penyokong Sri Pahang agak kurang namun menjangkakan mereka akan hadir pada minit-minit akhir.

"Kalau ikutkan penyokong Pahang macam kurang sedikit. Tetapi dijangkakan minit akhir akan datang.

"Namun, keadaan sekarang tetap meriah dan sambutan jualan juga agak baik," katanya.

Sebelum ini, isu kemeriahan perlawanan akhir tersebut menjadi tanda tanya selepas kuota tiket untuk Sri Pahang dilaporkan kurang mendapat sambutan.

Dalam pada itu, penyokong JDT, Bilal Khusairi, mengharapkan saingan sengit dapat ditampilkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan malam ini.

Artikel Berkaitan:

"Kalau boleh nak tengok perlawanan sengit. Sri Pahang menyerang, JDT juga menyerang dan ada berbalas gol," katanya.

Sementara itu, penyokong Sri Pahang, Norlaila Zainal Abidin mengharapkan skuad Pantai Timur itu akan dapat menghadirkan kejutan kepada JDT.

Dia yang berasal dari Pekan, Pahang itu percaya saingan hebat akan dipamerkan anak buah Fandi Ahmad itu.

"JDT memang kita tahu sangat kuat dan peluang Pahang agak tipis untuk menang. Tetapi sudah tentu Pahang akan berjuang sehabis baik malam ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!