Hampir 30,000 penyokong JDT hadir final Piala Malaysia

JOHOR BAHRU – Hampir 30,000 penyokong setia Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membanjiri pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur seawal jam 4 petang sempena perlawanan akhir Piala Malaysia, pada Sabtu.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak JDT (KPBJDT), Mohd Fadzli Sapie berkata, sasaran itu dapat dilihat menerusi sumber yang memberitahunya bahawa bilangan tiket terjual menghampiri jumlah tersebut.

"Penyokong dari Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos adalah sebanyak 15 bas, manakala selebihnya bertolak dari daerah masing-masing.
"Musim ini KPBJDT bergabung dengan kelab penyokong lain termasuk Boys of Straits (BOS) yang menyediakan hampir 100 bas. Kita akan berjumpa dengan bas lain dari Segamat, Pontian, Kulai dan Ayer Hitam.
"Walaupun jualan tiket agak suram kali ini, tetapi sebenarnya sambutan penyokong nak menonton final Piala Malaysia di SNBJ masih di luar jangkaan," katanya ketika ditemui di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, di sini, pada Sabtu.
Malam ini, JDT akan menentang Sri Pahang FC bagi mempertahankan Piala Malaysia yang sudah dimenanginya dua kali berturut-turut sebelum ini pada 2022 dan 2023.
Skuad Harimau Selatan itu juga pernah membawa pulang piala berprestij itu ke bumi Johor pada 2017 dan 2019.
Sementara itu, penyokong setia JDT, Ahmad Faizal Husein, 42, berkata, kehadiran 'lautan merah biru' bukan sekadar untuk menonton bola sepak semata-mata tetapi mahu membakar semangat pemain.
“Kita datang dari jauh bukan saja nak tengok bola, tapi nak bakar semangat pemain JDT tetap di hati.
"Saya jangka perlawanan malam ini bakal memihak kepada Harimau Selatan dengan keputusan 3-1 berdasarkan prestasi semasa pasukan itu sepanjang musim ini," ujarnya.
Turut ditemui, Noraini Arshad, 64, berkata, dia tiba di Stadium Larkin seawal jam 7.30 pagi kerana semangat berkobar-kobar mahu menyaksikan perlawanan yang akan berlangsung malam ini.
Pemandu e-hailing dari Kulai itu berkongsi, dia tidak pernah terlepas mana-mana perlawanan JDT, malah sentiasa mengikuti rombongan kelab penyokong itu ke setiap perlawanan termasuk di luar negara.
"Saya tiap-tiap tahun akan join 'trip' seperti ini. Baru-baru ini, saya pergi sampai ke Australia ketika perlawanan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), pernah juga ke Thailand dan Kemboja.
"Saya memang sangat meminati JDT sejak 2013 dan ini peluang yang saya ada untuk sentiasa dan tidak terlepas menonton perlawanan JDT," katanya yang meletakkan sasaran gol 4-0.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!