Penjawat awam diingat elak isu sensitif libatkan Jalur Gemilang, 3R

Wan Ahmad Dahlan (dua dari kiri) pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani di Kampung Seri Menanti, Kuala Pilah pada Sabtu.
Wan Ahmad Dahlan (dua dari kiri) pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani di Kampung Seri Menanti, Kuala Pilah pada Sabtu.
A
A
A

KUALA PILAH – Penjawat awam diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam menangani isu sensitif yang melibatkan Jalur Gemilang serta elemen 3R – agama, kaum dan institusi diraja – bagi mengelakkan sebarang kekhilafan yang boleh menjejaskan imej negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, insiden kesilapan paparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana bendera merupakan lambang kebanggaan negara.

“Kes seperti ini kelihatan seperti berulang-ulang. Sebelum ini, melibatkan pihak akhbar dan kini berlaku pula dalam kementerian pendidikan.

“Jadi, nasihat saya kepada semua penjawat awam, kita perlu lebih berhati-hati apabila berdepan dengan isu yang mempunyai sensitiviti tinggi terhadap negara,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani JPA, Sekolah Angkat Madani dan Sambutan Hari Raya Bersama Penduduk Kampung Seri Menanti.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memohon maaf atas kesilapan tersebut dan memaklumkan bahawa tindakan tegas akan diambil secara serta-merta terhadap semua pihak yang terlibat.

Dalam kenyataan itu, KPM turut menegaskan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan, dan kecuaian sedemikian tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang merupakan lambang kebesaran dan kedaulatan negara.

Dalam perkembangan lain, Kampung Seri Menanti kini diiktiraf sebagai kampung angkat kedua oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas Kampung Pulau Aman di Pulau Pinang.

Melalui peruntukan sebanyak RM1.2 juta, sebanyak lapan projek fizikal akan dilaksanakan di kampung berkenaan, termasuk kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih balai raya, perpustakaan desa, surau, gelanggang futsal dan takraw.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, turut dilaksanakan pemasangan lampu solar di lokasi strategik, pembinaan kios pengumpulan produk tempatan serta pemasangan pagar kubur di Wakaf Kubur Kampung Juar.

JPA juga merancang untuk membina mercu tanda Kampung Seri Menanti sebagai simbol kebanggaan dan identiti kampung tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!