Covid-19: Penduduk Indonesia serbu toko jamu

Peniaga ubat-ubatan berasaskan herba mendakwa harga barangan tersebut kini melambung akibat permintaan yang semakin meningkat. - Foto Agensi
Peniaga ubat-ubatan berasaskan herba mendakwa harga barangan tersebut kini melambung akibat permintaan yang semakin meningkat. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Ancaman wabak koronavirus (Covid-19) telah mencetuskan pembelian panik dalam kalangan pengguna di kebanyakan negara pada masa ini.

Indonesia turut tidak terkecuali apabila penduduk mula berpusu-pusu untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan selepas kerajaan mengumumkan kes jangkitan pertama Covid-19 melibatkan dua pesakit pada Isnin lalu.

Kebanyakan mereka mahu menambah bekalan ubat-ubatan berasaskan herba yang dipercayai berkesan mencegah jangkitan virus tersebut hingga menyebabkan toko jamu diserbu orang ramai.

Peniaga turut mengeluh berikutan harga bahan utama untuk minuman seperti halia merah kini melambung tinggi akibat permintaan yang meningkat.

“Harga halia merah meningkat daripada 30,000 rupiah (RM9) kepada 50,000 rupiah (RM14) sekilogram malah temulawak (halia jawa) kini dijual pada harga 12,000 rupiah (RM3.50) daripada harga asal 4,000 rupiah (RM1.20) sekilogram,” kata Sumini, seorang peniaga jamu di Colomadu, Kabupaten Karanganyar, Jawa Tengah.

Menurutnya, tumbuhan tersebut ialah bahan utama bungkusan rempah untuk menghasilkan minuman herba digelar ‘empon-empon’.

Minuman herba tersebut mula popular selepas kajian baru-baru ini oleh Chairul Anwar Nidom dari Universiti Airlangga di Jawa Timur yang mendakwa pengambilan minuman tradisional tersebut dapat meningkatkan sistem daya tubuh individu terhadap penyakit.

Hasil kajian Chairul mendapati ‘empon-empon’ mempunyai kesan yang mujarab untuk mengurangkan gejala simptom selesema burung.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, universiti tersebut akan melakukan penyelidikan lanjut untuk menentukan sama ada minuman tersebut mempunyai kesan sama terhadap Covid-19.

Di Australia, pemborong utama terpaksa mengehadkan pembelian tisu tandas selepas pembelian panik melanda negara itu susulan Canberra kini merekodkan kes ketiga jangkitan tempatan melibatkan pesakit yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Sejak beberapa hari lalu, media sosial turut berkongsi gambar orang ramai melakukan pembelian panik untuk mendapatkan bekalan produk sanitasi dan makanan seperti beras dan telur.

Bekalan tisu tandas yang semakin berkurangan di negara itu juga mencetuskan hashtag #toiletpapergate dan #toiletpapercrisis di Twitter.

“Kami cuba meyakinkan orang ramai tindakan mereka menghabiskan bekalan tisu tandas di rak pasar raya bukan perkara yang wajar dilakukan ketika ini,” kata Ketua Perubatan Australia, Brendan Murphy.

Sehingga kini, sebanyak 41 kes jangkitan Covid-19 telah dilaporkan di negara itu dan kebanyakannya melibatkan mereka yang dipindahkan dari kapal persiaran Diamond Princess di Jepun. - Agensi