Kemerosotan Palmer hanya isu mental bukan taktikal

PENGENDALI Chelsea, Enzo Maresca percaya kemerosotan prestasi penyerang berbisa The Blues, Cole Palmer, kebelakangan ini berpunca daripada faktor mental dan bukannya taktikal atau teknikal.
Pemain antarabangsa England berusia 22 tahun itu gagal menemui jaringan dalam 16 perlawanan terakhir selepas meledak 14 gol dalam 23 penampilan pertamanya musim ini.
Dalam tempoh yang sama, Chelsea turut merosot kedudukan daripada tangga kedua ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus terkeluar daripada kelompok kelayakan Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, Palmer mencatatkan jumlah percubaan terbanyak berbanding pemain EPL lain sepanjang tempoh tanpa golnya itu, dengan catatan 41 percubaan.
"Sudah pasti ia adalah isu mental, bukan taktikal atau teknikal. Cole masih pemain yang sama yang menjaringkan 14 gol dalam 20 perlawanan. Gaya permainannya sama, pengurusnya sama, kelabnya juga sama. Tiada apa yang berubah di sekeliling Cole. Ia hanya isu mental pada ketika ini.
"Anda boleh lihat dia sedikit bimbang kerana dia mahu membantu pasukan. Anda boleh lihat dia sedikit bergelut dengan perkara itu. Tetapi dia menunjukkan betapa gembiranya dia selepas perlawanan menentang Fulham. Ia hanya soal sama ada kita boleh memenangi perlawanan. Sudah pasti dia akan menjaringkan gol.
"Jika anda meneliti setiap perlawanan, dia mempunyai sekurang-kurangnya satu atau dua peluang dalam setiap perlawanan, jadi ia bukan mengenai bagaimana pasukan bermain," jelas Maresca.
Maresca akan terlepas perlawanan menentang Everton pada Sabtu kerana menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan di tepi padang menyaksikan tugasnya akan digalas pembantu jurulatih, Willy Caballero.
Mengulas lanjut Maresca berkata: "Mereka bertanya kepada saya jika saya memerlukan seseorang di sebelah saya (di tempat duduk penonton).
"Saya tidak tahu sama ada saya akan bersendirian atau bersama seseorang. Esok saya akan cuba berada seperti mana saya selalu cuba berada. Apabila pengurus tiada, adalah tugas kumpulan kepimpinan untuk tampil ke hadapan dan mengambil tanggungjawab."
Sementara itu, Maresca menegaskan bahawa musim ini bukan kegagalan buat kelab dari London berkenaan.
The Blues, yang kini berada di peringkat separuh akhir Liga Konferensi Eropah, mungkin tidak layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
"Berbanding dengan dua tahun lalu, ia bukan satu kegagalan..
"Berapa kali dalam dua tahun yang lalu Chelsea berada dalam kelompok kelayakan Liga Juara-Juara? Dan musim ini kita telah berada di sana hampir sepanjang musim. Adakah ia satu peningkatan atau tidak? Ia sudah pun satu peningkatan," kata Maresca, yang kini dalam musim pertamanya mengendalikan kelab London itu.
LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (26 APRIL)
Chelsea lwn Everton, 7.30 malam
Wolverhampton lwn Leicester City, 10 malam
Newcastle United lwn Ipswich Town, 10 malam
Brighton and Hove Albion lwn West Ham United, 10 malam
Southampton lwn Fulham, 10 malam
AHAD (27 APRIL)
Bournemouth lwn Manchester United, 9 malam
Liverpool lwn Tottenham Hotspur, 11.30 malam
JUMAAT (2 MEI)
Nottingham Forest lwn Brentford, 2.30 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!