Pengundi muda kena bijak bezakan tanggungjawab, umpan pilihan raya

Pengundi muda diingatkan tidak mudah terpedaya dengan janji ahli atau parti politik terutama menjelang pilihan raya. Gambar hiasan
Pengundi muda diingatkan tidak mudah terpedaya dengan janji ahli atau parti politik terutama menjelang pilihan raya. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengundi muda diingatkan tidak mudah terpedaya dengan janji ahli atau parti politik terutama menjelang pilihan raya di kawasan masing-masing.

Naib Pengerusi (Remaja) Gerakan Belia 4B Wilayah Persekutuan, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, golongan belia perlu bijak membezakan antara tanggungjawab kerajaan dan umpan pilihan raya.

"Jangan biarkan undi anak muda dijajah dengan sentimen dan sogokan. Elak jadi 'pengundi bermusim' tetapi jadilah penilai masa depan.

"Belia bukan robot yang boleh diprogram untuk bergerak apabila ada habuan. Kita ada akal, idealisme dan impian untuk negara.

"Undi golongan muda adalah suara masa depan, maka biarlah undi itu lahir dari penilaian fakta dan integriti, bukan habuan sementara," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dilapor mengecam insiden yang didakwa salah laku pilihan raya oleh kerajaan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang sedang berlangsung ketika ini.

Jawatankuasa Pemandu Bersih menerusi kenyataan menjelaskan, insiden itu melibatkan pengumuman bersyarat oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berikrar projek pembangunan di kawasan tersebut akan diteruskan sekiranya calon Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya berkenaan.

Dalam pada itu Abdul Hakim menegaskan, PRK Ayer Kuning sepatutnya menjadi medan demokrasi matang dan bukannya politik manipulasi.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau mahu golongan belia mencipta gelombang anak muda yang cerdik menilai dan tidak mudah terpedaya ketika ditabur dengan wang ringgit dan janji melangit.

"Kalau pemimpin boleh beri janji manis ketika pilihan raya, anak muda juga boleh beri satu janji (iaitu) kita akan undi berdasarkan prinsip, bukan hadiah.

"Kita boleh berbeza pandangan politik tetapi perlu bersatu dalam prinsip demokrasi yang bersih, adil dan bermaruah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!