SC, Bursa siasat insiden akaun dagangan dalam talian diceroboh

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian akses tidak sah ke atas beberapa akaun dagangan dalam talian yang dikenal pasti oleh beberapa broker, semalam.

SC dan Bursa Malaysia dalam kenyataan bersama berkata, kejadian itu disedari pada petang Khamis selepas beberapa pelanggan melaporkan kegagalan log masuk dan terdapat aktiviti dagangan mencurigakan yang tidak dilakukan oleh mereka.

“Semua broker telah diarahkan untuk segera memaklumkan kepada pelanggan supaya menukar kata laluan serta maklumat log masuk sebagai langkah keselamatan tambahan.

“Mereka turut diminta melaksanakan langkah keselamatan tambahan termasuk pengesahan pelbagai faktor dan dasar kata laluan yang lebih ketat,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

SC merupakan badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyeliaan serta pemantauan institusi pasaran termasuk bursa.

Bursa Malaysia pula ialah syarikat pemegangan bursa yang ditubuhkan pada 1976 dan kini mengendalikan pelbagai aset dengan menyediakan kemudahan pelaburan, pengumpulan modal dan urus niaga.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua pihak menegaskan bahawa mereka kini dalam keadaan berjaga-jaga dan bekerjasama rapat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.

Usaha menyeluruh juga sedang giat dijalankan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang serta memastikan keyakinan pelabur tidak terjejas

Artikel Berkaitan:

“Pasaran modal negara kekal utuh dan dagangan akan berjalan seperti biasa. Pengawal selia komited memastikan pasaran kekal adil dan teratur bagi melindungi kepentingan semua pelabur.

“Namun, semua pelabur dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan akaun dagangan masing-masing. Mereka juga digesa melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak broker atau pengawal selia pasaran dengan segera,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!