Kedah tubuh Jawatankuasa Pemulihan Khas secara berfasa, strategi

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Khas bagi menyusun semula hala tuju kelab melalui pendekatan berfasa dan berstrategi, dalam usaha memastikan kelangsungan pasukan di pentas Liga Super.
Pemilik majoriti kelab tersebut, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengakui bahawa musim 2024/25 merupakan antara musim paling mencabar dalam sejarah Sang Kenari, terutama dari segi prestasi pasukan, cabaran pengurusan, serta kekangan kewangan yang menekan.
Bagaimanapun, beliau melihat semangat tidak putus asa dalam kalangan pemain, jurulatih, pegawai, dan warga kerja kelab sebagai aset paling bernilai untuk bangkit semula.
“KDA FC sedang melalui fasa pemulihan menyeluruh. Jawatankuasa Pemulihan Khas ini akan berperanan dalam membaik pulih aspek kewangan, teknikal, pengurusan, dan pembangunan akar umbi bagi membolehkan kelab kembali stabil dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.
Dalam memastikan pemulihan KDA FC dilakukan dengan teliti, pelbagai langkah berfasa dan berstrategi telah dirangka antaranya menyelesaikan isu kewangan yang berlaku pada musim ini.
Menurutnya, pelantikan Pengarah Teknikal dan pemain luar negara menjadi sebahagian daripada strategi menarik minat penaja luar negara, sekali gus membantu kestabilan kewangan kelab.
“Kelab juga sedang menyusun semula pentadbiran dan pengurusan supaya lebih sistematik dan efisien. Tindakan ini diambil bagi memastikan kelab dapat memenuhi syarat perlesenan Liga Super untuk musim baharu,” ujarnya.
Tambah Mohd Daud, keutamaan kini diberikan kepada usaha membentuk skuad yang lebih kompetitif, termasuk pemilihan pemain berkualiti tinggi dan pemulihan ini juga melibatkan pembangunan pemain muda untuk memastikan masa depan kelab lebih terjamin.
Beliau menegaskan bahawa walaupun kelab berdepan cabaran besar, usaha pemulihan dilakukan dengan penuh komitmen dan tidak tergesa-gesa.
“Kami tidak menjanjikan keajaiban, tetapi kami berjanji akan terus bekerja keras untuk memastikan KDA FC kembali bangkit sebagai pasukan yang lebih kuat, lebih tersusun, dan lebih dihormati, bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat serantau.
“KDA FC pernah berjaya, kini sedang diuji, dan saya yakin kita akan bangkit semula bersama,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

