Crystal Palace benam Aston Villa, mara ke final Piala FA

Ismaila Sarr antara penyumbang gol buat Palace ketika berdepan Villa di Wembley. Foto Agensi
Ismaila Sarr antara penyumbang gol buat Palace ketika berdepan Villa di Wembley. Foto Agensi
A
A
A

CRYSTAL Palace melangkah ke final Piala FA buat kali ketiga dalam sejarah kelab selepas membenam Aston Villa 3-0 dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan di Stadium Wembley, hasil dua jaringan Ismaila Sarr dan satu gol memukau Eberechi Eze.

Penyokong-penyokong Palace, yang mengimpikan trofi utama pertama dalam sejarah 119 tahun kelab dari selatan London itu dihidangkan dengan persembahan penuh bertenaga sejak wisel permulaan.

Eze membuka tirai jaringan pada minit ke-31 selepas menyudahkan hantaran Sarr dengan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Villa, Emiliano Martínez.

The Eagles berpeluang melebarkan kedudukan menerusi Tyrick Mitchell sebelum rehat dan Jean-Phillipe Mateta yang gagal menyempurnakan sepakan penalti awal babak kedua.

Bagaimanapun, keazaman tinggi Palace akhirnya membuahkan hasil apabila Sarr menggandakan jaringan pada minit ke-58 sebelum menambah gol ketiga masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan bergaya.

"Hari yang istimewa. Kami mahu mara sejauh mungkin dan kami percaya kami boleh melakukannya. Kami telah menunjukkan persembahan seperti ini sepanjang masa. Kami tidak bimbang atau takut menghadapi sesiapa pun," kata Eze, yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Sebagai rekod, Crystal Palace sebelum ini tewas dalam dua penampilan final Piala FA pada 1990 dan 2016, kedua-duanya kepada Manchester United.

Palace kini bakal berdepan pemenang separuh akhir kedua antara Manchester City dan Nottingham Forest yang dijadualkan berlangsung di Wembley pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!