Ar-Rahnu X’Change, RMS Gold usaha perluas pembiayaan tunai, pemilikan emas

AR-RAHNU X’Change dan RMS Gold diperkenalkan sebagai usaha Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS) memperluas perkhidmatan pembiayaan tunai segera dan pemilikan emas alternatif berlandaskan prinsip syariah.
Pengerusi RMS, Mohd Jafri Kudus berkata, keputusan untuk membuka operasi perniagaan Ar-Rahnu X’Change berdasarkan keyakinan ke atas potensi dan perkembangan perniagaan pajak gadai Islam selain jenama perniagaan francais milik Bank Rakyat.
“Pembukaan operasi ARX ini juga mampu mengimbangi permintaan dan memenuhi keperluan pasaran perkhidmatan pembiayaan tunai segera di sekitar Jalan Kebun dan daerah Klang.
“Industri Ar-Rahnu mengalami perkembangan yang sangat positif dan tahap kesedaran amat tinggi dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa Majlis Perasmian Ar-Rahnu X’Change dan RMS Gold di cawangan Jalan Kebun, Klang.

Ar-Rahnu X’Change cawangan Jalan Kebun merupakan premis pertama milik RMS dan menjadi rangkaian ke-84 yang beroperasi di seluruh negara.
Dalam masa sama, RMS turut merasmikan cawangan kedua RMS Gold, jenama barangan kemas milik anak syarikat Bank Rakyat.
Mohd Jafri yang juga Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat berkata, Ar-Rahnu X’Change Jalan Kebun turut berperanan sebagai premis prototaip.
“Ia akan dijadikan pusat latihan, penyelidikan, pembangunan dan inovasi, selain menjadi lokasi lawatan bagi koperasi serta agensi yang berminat melihat model operasi francais itu.
“Tawaran varian produk terpakai kontemporari menarik dengan harga kompetitif merupakan `brand positioning’ RMS Gold sebagai jenama pilihan yang semakin berkembang di pasaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (RMS), Mohamad Azwani Asa’d berkongsi, RMS Gold mencatat jualan kasar sebanyak RM22 juta sepanjang 2024 manakala RM4.9 juta direkodkan bagi suku pertama 2025.
“Kesedaran masyarakat ke atas pemilikan emas telah memasuki dimensi baharu dengan memanfaatkan aset kalis inflasi ini sebagai alternatif kepada simpanan tunai dan pelaburan jangka panjang.
“RMS Gold turut menawarkan alternatif penjualan atas talian yang boleh diakses menerusi laman web rmsgold.com.my,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!