Hamzah sahkan pimpinan Bersatu Perak masih kuat

TAPAH - Pertukaran kerusi membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Sidang Dewan Perak bukan petanda kepada sebarang perpecahan dalam parti.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, pertukaran tersebut merupakan langkah biasa yang turut diamalkan dalam mana-mana parti politik selepas melalui proses pemilihan dalaman.
“Siapa kata kita berpecah? Tak ada. Selepas sahaja pemilihan parti, pertukaran jawatan ini perkara biasa. Bukan hanya Bersatu, mana-mana parti pun akan melalui proses seperti ini,” katanya ketika ditemui dalam Ziarah Kasih di Kampung Dato Kamaruddin, Bidor di sini pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah menghantar surat kepada Pejabat Speaker DUN Perak untuk menukar kedudukan ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi dan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.
Untuk rekod, Nadziruddin Mohamed dilantik sebagai Setiausaha Bersatu negeri bagi menggantikan Zainol Fadzi yang meletakkan jawatan itu pada November lalu.
Sementara itu, Hamzah menafikan dakwaan laporan memetik penganalisis politik bahawa campur tangan beliau dalam isu itu mencerminkan kelemahan kepimpinan Bersatu Perak sebagai tidak berasas.
“Kalau nak gunakan analisis orang yang kata itu punca perpecahan, ia tak betul. Saya dah jumpa Datuk Peja (Ahmad Faizal), kita dah bincang. Malah semalam kita bersama Datuk Zainol dan beliau turun berkempen. Peja pun turut serta. Mana ada masalah?” katanya.
Hamzah menjelaskan, perubahan kedudukan ADUN dalam DUN hanya mengambil kira pelantikan baharu dalam parti dan langsung tidak berkaitan dengan soal individu atau pengaruh peribadi.
“Ia bukan untuk Peja pun. Dia bukan ada kedudukan dalam DUN. Tetapi selepas pelantikan dalam parti, kita lihat ada keperluan untuk perubahan dan itu biasa.
"Di Parlimen pun kita pernah buat. Contohnya bila Menteri Besar Terengganu menang di Parlimen Kemaman, kita tukar tempat duduk ikut jawatan dalam parti,” katanya.
Menurut beliau, isu tersebut hanya dijadikan modal oleh pihak tertentu untuk mencetuskan persepsi negatif terhadap perpaduan dalam Bersatu, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
“Sebenarnya tak ada isu pun. Saya diminta masuk campur kerana saya Timbalan Presiden. Saya lihat dari atas dan saya nilai perkara yang berlaku. Bila sudah jelas, maka tiada lagi isu yang perlu dibangkitkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

