Syed Saddiq mohon doa, yakin kebenaran akan terbukti

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon doa daripada semua agar kebenaran akan berpihak kepadanya, susulan keputusan rayuan kes salah guna dana yang dijangka diumumkan pada 25 Jun depan.
Beliau juga menegaskan tidak pernah lari meskipun disiasat oleh pelbagai agensi penguat kuasa sejak lebih lima tahun lalu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Saya tidak tunduk, tidak lari. Saya tidak jual diri demi kuasa atau kekayaan kerana cintakan Malaysia lebih daripada nyawa sendiri.
“Saya sanggup lakukan apa sahaja demi masa depan negara ini. Hari ini saya dimaklumkan keputusan rayuan akan diumumkan pada 25 Jun, kurang dua bulan dari sekarang di Mahkamah Rayuan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Syed Saddiq berkata, beliau tidak pernah mengambil sebarang dana parti untuk kepentingan peribadi seperti yang didakwa.
Jelasnya, daripada RM1 juta dana yang dikeluarkan daripada akaun parti, tiada sesen pun digunakan untuk dirinya sebaliknya kesemua perbelanjaan digunakan sepenuhnya bagi program dan kempen parti pada 2018.
“Mereka kata saya salah guna dana kempen parti politik tapi kami (pasukan pembelaan) buktikan dengan resit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa saya sendiri belanja lebih RM170,000 duit sendiri untuk kempen.
“Saya keluarkan duit dari akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) sendiri dan terbukti dengan resit. Saya ambil pinjaman, belanjakan segala wang simpanan, semua demi perjuangan. Sekarang, saya dituduh ambil RM120,000,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, segala fakta dan hujah telah dikemukakan di mahkamah dan kini hanya mampu menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa serta para hakim untuk menentukan keputusan.
“Saya berjanji, walau apa pun keputusannya, saya akan hormati institusi kehakiman negara. Cinta kepada negara tidak boleh bersyarat. Perjuangan untuk memperkukuh institusi tidak boleh pilih waktu.
“Saya mohon doa kalian kerana doa adalah senjata paling ampuh melawan kezaliman dan ketidakadilan. Doakan saya, doakan kebenaran kerana saya percaya yang benar tetap akan menang, Insya-ALLAH,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada Khamis menetapkan keputusan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat pertuduhan membabitkan kesalahan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) pada 25 Jun depan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan demikian ketika dihubungi media selepas pengurusan kes dijalankan secara dalam talian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

