Lelaki maut kereta terbabas langgar tiang papan tanda

SEPANG – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas melanggar tembok batu longkang sebelum merempuh tiang papan tanda jalan raya di Kilometer 53.4 Jalan Dengkil-Kota Warisan di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia 25 tahun memandu seorang diri dari arah Dengkil menghala ke Kota Warisan.
Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 6.15 pagi.
"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh tembok batu longkang.
"Impak pelanggaran tersebut menyebabkan kenderaan berpusing lalu melanggar tiang papan tanda jalan raya. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan IPD Sepang atau pegawai penyiasat, Inspektor Nurulsakela Ramlee di talian 019-558 8221," ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.33 pagi.

"Tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, sebaik tiba di lokasi, polis mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai terbabas sebelum merempuh tiang papan tanda.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
