Kanak-kanak tiga tahun maut, ibu bapa cedera kereta terbabas langgar pokok
JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut manakala ibu dan bapanya cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dalam kejadian di Jalan Adda 5, Taman Adda Height, di sini awal pagi Rabu.
Kemalangan kira-kira jam 12.40 pagi itu berlaku ketika tiga beranak berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Adda Height dari Taman Mount Austin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu bapa mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.
“Akibat pelanggaran, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan bersama ibunya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Ibu mangsa pula mengalami patah pada bahagian paha kiri dan kanan, manakala bapa mangsa cedera di bahagian kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa dewasa kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, dengan si ibu ditempatkan di Zon Merah manakala suami di Zon Kuning.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Izwan Abdullah berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 12.39 pagi.
Jelas beliau, pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit iaitu pemandu dan penumpang bahagian hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

